fbpx
Seorang penumpang wanita (dalam bulatan) terjun ke dalam sungai apabila kereta api yang dinaiki mengalami kebakaran. - Boston Globe

Wanita terjun sungai selepas kereta api terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOSTON – Seorang penumpang wanita yang berada di dalam kereta api sedang terbakar di Boston, Massasuchets bertindak di luar kebiasaan dengan  terjun ke dalam Sungai Mystic berbanding melarikan diri di atas  landasan, lapor akhbar New York Post semalam.

Video tular yang dirakam dari dalam kereta api semasa kejadian menunjukkan ramai  penumpang memanjat melalui tingkap kereta api dan melarikan diri di atas landasan. Kejadian berlaku ketika tren itu berada di sebuah jambatan.

Namun, salah seorang daripada mereka memilih untuk terjun ke dalam sungai bagi menyelamatkan diri.

“Seorang penumpang wanita  tidak dikenali melompat dari jambatan di mana kereta api itu terhenti terus ke dalam sungai.

“Bot marin kami kebetulan berada di sungai untuk latihan dan segera bergegas ke lokasi wanita itu terjun, namun dia enggan masuk ke dalam bot. Anggota kami memberikannya jaket keselamatan dan dia terus berenang ke tebing dan berlalu pergi,” kata Ketua Jabatan Bomba Somerville, Charles Breen.

Kereta api Orange Line itu melintasi Sungai Mystic apabila terbakar sejurus sebelum pukul 7 pagi (waktu tempatan).

Pihak berkuasa berkata, seramai  200 penumpang dipindahkan dari kereta api itu yang menuju ke stesen Somerville. Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.

MBTA berkata perkhidmatan kereta api disambung semula menjelang pukul 10.30 pagi hari yang sama. Punca kebakaran belum didedahkan oleh pihak berkuasa. – Agensi

POPULAR