fbpx
Chow Kon Yeow.

Tiada syarikat berminat sertai projek litar lumba di P. Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri telah berusaha menyediakan satu litar khusus untuk peminat pemotoran di negeri ini namun tiada syarikat yang berminat menyertai proses permohonan pengemukaan cadangan (Request for Proposal atau RFP) projek berkenaan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, RFP itu telah dibuka pada tahun lalu namun tiada satu pun syarikat yang memberi maklum balas mengenainya.

“Sebelum ini kita ada satu cadangan untuk membuka satu litar besar di Batu Kawan, kita telah menjemput syarikat-syarikat yang layak untuk menyertai RFP projek ini di bawah Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee.

“Kita telah berusaha untuk elak kejadian sedemikian (kemalangan) tetapi tidak ada syarikat yang memberi respond kepada RFP tersebut kerana mungkin mereka tidak nampak potensi dalam sediakan litar ini,” katanya dalam sidang akhbar di Komtar di sini hari ini.

Sebelum ini, Pulau Pinang mengumumkan akan membina litar lumba di Batu Kawan bersebelahan Kompleks Stadium Negeri.

Lip Chee berkata, tanah berkeluasan 2.8 hektar antara stadium dan Sungai Jawi sudah dikenal pasti sebagai lokasi sesuai untuk membina litar tersebut dalam mencari bakat sukan permotoran baharu.

Menurut Kon Yeow, pihaknya amat kesal dengan kejadian kemalangan yang membabitkan penunggang motosikal di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Ahad lalu kerana nyawa adalah sesuatu yang amat bernilai.

“Saya difahamkan ada gelaran mat rempit yang diberikan kepada mereka ini oleh media dan beberapa pihak lain, ini adalah satu masalah sosial di seluruh negara yang perlu diambil tindakan oleh semua pihak.

“Semua pihak perlu sedar bahawa jalan raya apabila digunakan untuk aktiviti perlumbaan semestinya mesti menimbulkan risiko kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memberikan kesedaran kepada keluarga masing-masing mengenai bahayanya menjadikan jalan raya sebagai tempat aktiviti perlumbaan.

“Kita tidak dapat harapkan pihak berkuasa berada di setiap tempat malah pihak polis juga sering mengambil tindakan penguatkuasaan untuk membendung aktiviti ini namun ia masih kurang berhasil,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR