fbpx

MAHA 2022 platform hapuskan orang tengah sektor pertanian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Zawawi (tengah) ketika melancarkan Laman Agromakanan Florikultur di Putrajaya tadi.

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mahu menjadikan penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 sebagai platform bagi menghapuskan peranan orang tengah dalam sektor pertanian.

Timbalan Menterinya, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, MAHA 2022 yang bakal bermula 4 hingga 14 Ogos itu mempunyai kekuatan ekonomi tersendiri dalam mewujudkan rantaian perniagaan peringkat nasional, bahkan boleh dikembangkan ke peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, MAHA menawarkan kemudahan dan panduan menyeluruh daripada menanam hinggalah kepada peringkat jualan hasil tanaman selain menawarkan peluang perniagaan, pelaburan dan teknologi pertanian.

“Semua tawaran dan peluang itu akan dipamerkan pada MAHA 2022 dan ia akan menjadi penghubung rangkaian perniagaan antara petani dan pengusaha dengan pengguna.

“Kami mahu menghapuskan peranan orang tengah dalam sektor pertanian ini kerana mereka ini sentiasa mengambil kesempatan dan mengaut kekayaan dalam keadaan yang tidak sewajarnya,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Laman Agromakanan Florikultur sempena penganjuran MAHA 2022, hari ini.

Katanya, beliau berharap rangkaian terus antara petani dan pengguna ini dapat menghapuskan pembabitan orang tengah dalam sektor pertanian.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa supaya budaya ‘orang tengah’ dalam sektor pertanian dan rangkaian bekalan makanan dihapuskan bagi mengawal kos sara hidup yang meningkat antara lain akibat kenaikan kadar inflasi.

Mengulas mengenai Laman Agromakanan Florikultur, Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Zahimi Hassan berkata, laman berkenaan berkonsepkan ‘Taman Keajaiban’ dan ia akan mempamerkan keindahan landskap pelbagai jenis kombinasi bunga-bungaan yang unik bersama tanaman edible menyegarkan.

Menurutnya, taman itu akan mempunyai elemen etnobotani, bungaan produktif dan estetik serta tanaman edible yany diterapkan melalui lapan konsep taman yang dikenali sebagai Taman Pelangi, Taman Bunga Matahari, Taman Tropika, Taman Orkid, Taman Urban, Taman Teratai, ‘Vertical Garden’ dan ‘Petunia Garden’.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI