fbpx
Ahmad dan Amirul (duduk) )bersama kakitangannya di pejabat Ezcare di Bangi baru-baru ini.

Formula, kreativiti Ezcare kini menjadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ramai yang ‘mengidam’ untuk memiliki sebuah kenderaan import terpakai atau kenderaan mewah (supercar) bagi pemanduan yang lebih mengujakan, selesa dan bergaya.

Bagaimanapun, apabila berlakunya sebarang kerosakan, perbelanjaannya juga agak tinggi dan membebankan.

Sebagai perlindungan untuk tidak terjebak dengan masalah tersebut, dua usahawan yang sangat berpengalaman dalam bidang automotif serta insurans kenderaan telah membangunkan sebuah syarikat, Ezcare Warranty Sdn. Bhd. (Ezcare) pada penghujung tahun 2016.

Hasrat awal pengasas syarikat bumiputera itu, Ahmad Ibrahim, 43, dan pengasas bersamanya, Amirul Akmar, 38, adalah untuk membantu pengedar serta pemilik kenderaan daripada masalah ketidaktelusan serta manipulasi harga yang tidak terkawal ekoran nilai kerosakan dan barangan alat ganti yang berlipat ganda.

Mereka bersama-sama membangunkan formula pelan jaminan mampu milik yang lengkap dengan perkhidmatan berkualiti seperti konsep bengkel terbuka, penilai teknikal yang akan membuat pemeriksaan kepada kenderaan serta kini aplikasi telefon pintar baharu untuk menambah nilai perkhidmatan sedia adanya.

“Rahsia kejayaan kami adalah menawarkan perkhidmatan terbaik dan kreatif. Kami tiada hutang dengan mana-mana bengkel yang mana setiap tuntutan akan dibayar sebelum kenderaan tersebut diserahkan kepada pemilik dan penilai teknikal kami adalah orang penting untuk membuat penilaian kos kerosakan serta alat ganti bagi mengelak sebarang manipulasi harga,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui
di pejabat mereka baru-baru ini.

Ahmad Ibrahim

KOSMO!: Bagaimana tercetusnya idea untuk membangunkan satu perniagaan berkaitan penyediaan per­khidmatan jaminan selepas pasaran untuk kenderaan terpakai import?
Kami memiliki kemahiran dan pengalaman masing-masing dalam bidang jualan kenderaan import dan insurans. Jadi, gabungan tersebut membolehkan kami menawarkan satu produk untuk memudahkan pengedar kende­raan menyelesaikan masalah tuntutan jika berlakunya masalah kepada kereta import terpakai.

Kami mahu menawarkan satu produk yang telus, lebih terurus, tiada kepentingan diri untuk mengaut keuntu­ngan berlipat ganda serta dalam masa sama mahu membangunkan perniagaan bumiputera dalam industri ini.

Bilakah Ezcare mula beroperasi dan bagaimana sambutan pelanggan dalam fasa awal itu?
Kami memulakan perniagaan ini pada awal tahun 2017 dengan bermodalkan RM400,000. Pada peringkat awal, ia agak mencabar kerana ada yang mencemuh, ada yang tidak mahu melayan kami, malah kertas promosi yang diedarkan terus dibuang ke dalam tong sampah. Kami terus berusaha dan memfokuskan kepada para pengedar yang memerlukan satu pembaharuan dalam industri ini. Sambutan yang diterima daripada kumpulan sasaran sa­ngat menggalakkan kerana ia banyak membantu pengedar menawarkan perkhidmatan berkaitan penyediaan jaminan yang boleh diyakini, berbanding sebelum ini, ia seperti tiada kawalan sehingga timbul masalah kepentingan konflik.

Siapakah pelanggan Ezcare?
Ia terbuka kepada semua pengedar kenderaan import dan terpakai yang mana kere­tanya berusia di bawah 10 tahun. Kumpulan ini menyumbang sehingga 80 peratus kepada hasil syarikat.

Amirul

Apakah pembaharuan yang dibuat oleh syarikat?
Kami memperkenalkan konsep bengkel terbuka bagi memudahkan urusan pelanggan memi­lih mana-mana bengkel mengikut keperluan pelanggan.

Kami akan menghantar kumpulan penilai ke bengkel tersebut dan memeriksa secara teliti apakah kerosakan dan alat ganti yang diperlukan serta nilai kos.

Bermakna di sini, tiada lagi tuntutan di luar jangka yang melibatkan kos berlipat kali ganda serta tidak masuk akal sehingga menyebabkan pelanggan menanggung beban yang tinggi. Selain itu, kami juga memba­ngunkan satu formula untuk pengiraan kadar nilai premium jaminan agar harganya berpatutan dan mampu milik.

Apakah nama produk sulung syarikat?
Bermula tahun 2017, kami telah memperkenalkan Reconditioned Warranty Plan dan Used Warranty Plan kepada semua pengedar kenderaan import dan terpakai.

Selain itu, kami juga perkenalkan Pelan Prima pada tahun 2018 yang mana tawaran dibuat kepada semua jenis kenderaan import pada harga yang bermula dari RM2,000 untuk jaminan selama tiga tahun.

Pelan Prima telah menerima sambutan yang menggalakkan. Bermula daripada pelan tersebut, kami telah menyediakan pelan jaminan sehingga tujuh tahun kepada semua jenis kenderaan import.


Apakah perancangan syarikat pada tahun ini dan juga 2023?
Kami telah memperkenalkan aplikasi telefon pintar baharu kepada pemegang polisi sedia ada untuk mengakses maklumat lengkap mengenai polisi kende­raan masing-masing, jadual ­penyelenggaraan berkala, status perihal tuntutan dan lokasi bengkel yang dicadangkan bagi servis berkala penyelenggaraan.

Dalam masa yang sama, pemegang polisi juga dapat menghubungi nombor bantuan kecemasan (SOS) pada bila-bila dan di mana-mana sahaja mereka berada tanpa sempadan dengan lebih mudah, cepat dan selamat.

Apakah produk terbaharu syarikat?
Selepas kejayaan Pelan Prima, kami telah memperkenalkan Pelan Millennia yang mana ia memberi peluang kepada pe­langgan untuk terus setia kepada syarikat dengan jaminan sehingga tujuh tahun.

Sebelum ini, pelanggan membayar pre­mium jaminan sebanyak RM2,000 untuk tiga tahun tetapi kini dengan pelan Millenia, mereka dapat tambahan dua tahun lagi dengan kadar harga RM2,000 juga.

Kami juga menawarkan pelan premium kepada supercar yang mana nilai jaminan bagi kende­raan sebegini kosnya lebih tinggi daripada kenderaan import biasa dan harganya adalah serendah RM17,000 setahun.

Bagaimana kesedaran masyarakat terhadap per­khidmatan jaminan khusus­nya pemilik kenderaan import?
Masih ramai lagi yang tidak tahu manfaat tentang per­khidmatan jaminan kenderaan. Ia boleh dianggap sebagai kad perubatan dan ia sangat diperlukan untuk mendapatkan rawatan berkualiti serta lebih cepat di mana-mana hospital.

Konsep itu sama diguna pakai untuk kenderaan khususnya import dan juga mewah. Ini kerana, pelbagai barangan alat gantinya menelan belanja yang tinggi.

Tambahan pula, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga telah menyarankan agar semua pengedar kende­raan import ­menyediakan jaminan untuk tahun pertama kepada para pelanggan mereka.

Jadi, ini me­nunjukkan penting­nya perkhidmatan jaminan dilanggan oleh mereka. Pe­langgan juga sentiasa diingatkan agar membuat ­penyelenggaraan berkala pada tempoh yang ditetapkan untuk menjaga kesahan (validity) polisi jaminan kenderaan agar ia tidak terbatal. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN