fbpx

Teliti semula pelaksanaan langkah penjimatan perbelanjaan awam – Cuepacs

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan Mat

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta agar beberapa perkara perlu diteliti semula dalam melaksanakan potongan perbelanjaan kepada perkhidmatan awam.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, cadangan tersebut perlu diambil kira memandangkan perkara itu boleh mengakibatkan ‘gangguan’ kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

“Adalah tidak wajar jika kerajaan memotong perbelanjaan sehingga mengakibatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam terjejas.

“Pada akhirnya perkhidmatan awam akan dihakimi oleh rakyat sebagai gagal kerana tidak mampu memberi perkhidmatan yang terbaik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Adnan, perkara berkenaan termasuklah hal-hal yang melibatkan perjawatan.

“Terdapat banyak kekosongan perjawatan yang tidak diisi ketika ini dan jika ia diperketatkan, Cuepacs bimbang banyak jabatan akan terjejas terutama sektor penting seperti kesihatan, keselamatan atau perkhidmatan langsung kepada rakyat.

“Cuepacs tidak boleh bertolak ansur sekiranya penjimatan atau potongan perbelanjaan itu melibatkan perkara penting atau memberi kesan kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, perkara-perkara lain yang disentuh oleh garis panduan tersebut adalah wajar dan perlu diambil tindakan oleh semua warga perkhidmatan awam terutama ketua jabatan.

“Cuepacs juga berharap pelaksanaan garis panduan ini juga tidak menjejaskan pelaksanaan segala inisiatif kepada penjawat awam yang diumumkan dalam Bajet 2022,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kewangan (MOF) meminta semua kementerian, jabatan, agensi, Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Terhad Dengan Jaminan (CLBG) untuk melaksanakan penjimatan dalaman bagi menentukan semua perbelanjaan adalah selaras dengan prinsip serta peraturan pengurusan kewangan ditetapkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI