PETALING JAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendedahkan syarikat-syarikat yang disyaki terlibat dengan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya) menggunakan data peribadi pencari kerja untuk membuat tuntutan palsu.
Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, syarikat serta majikan terlibat dipercayai telah memasukkan maklumat serta data pencari kerja secara rawak ke dalam sistem Penjana Kerjaya Perkeso.
“Tuntutan palsu itu dibuat ke atas individu-individu kononnya diberikan pekerjaan tetapi sebenarnya ia adalah penipuan.
“Majikan akan memasukkan butiran data individu (pencari kerja) yang tidak mengetahui nama mereka digunakan kononnya telah diambil bekerja dengan syarikat berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Jelasnya, data peribadi yang digunakan itu tidak semestinya pencari kerja yang telah ditemu duga untuk pekerjaan.
“Ia boleh dikenakan terhadap sesiapa sahaja yang mana datanya boleh digunakan. Data luar daripada Perkeso itu diambil secara rawak,” ujarnya.
Menurut beliau, hasil risikan dan siasatan dijalankan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati terdapat unsur penipuan menerusi tuntutan yang dipohon.
Katanya, sehingga kini Perkeso telah meneliti dan menghantar sebanyak 66 syarikat untuk dirujuk kepada SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Siasatan akan diteruskan dan data akan diteliti. Saya minta mana-mana syarikat di luar sana yang belum dikesan untuk tampil bagi membantu siasatan serta dikenakan tindakan selanjutnya oleh SPRM,” tambahnya.
Semalam Kosmo! melaporkan SPRM menahan 37 individu kerana terlibat dalam penyelewengan tuntutan palsu Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) menerusi Ops Hire.
Antara yang ditahan termasuk 26 lelaki dan 11 wanita terdiri daripada individu berjawatan pengarah, pengurus, pemilik syarikat pegawai eksekutif dan jurutera berusia 28 hingga 70 tahun melibatkan 24 kertas siasatan.













