fbpx

Lidah, kepala lembu jadi rebutan musim Aidiladha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GULAI lidah lembu dikatakan menjadi antara menu wajib penggemarnya di Pulau Pinang setiap kali Aidiladha.

GEORGE TOWN – Bahagian lidah dan kepala lembu korban dikatakan enak sekiranya dimasak gulai atau kari sekali gus menjadi sebahagian menu wajib dalam kalangan penggemarnya di negeri ini setiap kali tibanya sambutan Hari Raya Aidiladha.

Seorang penggemar hidangan itu, Mohd. Rahim, 56, berkata, sudah menjadi kewajipan dia sekeluarga meraikan suasana Hari Raya Korban dengan menyediakan masakan kari lidah lembu untuk dijamu kepada tetamu serta saudara-mara yang hadir.

Akuinya, masih ramai yang berasa curiga dan pelik setiap kali dihidangkan menu bahagian ternakan korban itu di atas meja.

“Sekali rasa, pasti hendak lagi. Rasa gulai lidah lembu seperti kenyal urat daging lembu. Memang rasanya lazat dan enak dimakan bersama nasi putih atau nasi minyak dalam keadaan masih panas.

“Setiap kali Hari Raya Korban, sama ada saya atau ahli keluarga yang sertai ibadah itu mesti kami akan bawa pulang lidah dan kepala lembu di rumah.

“Kepalanya pula sedap sekiranya dimasak gulai atau sup tulang. Lebih nikmat sekiranya diratah dan dihirup saki baki isi daging bersama kuah sup,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

LIDAH lembu yang belum dimasak menjadi rebutan.

Sementara itu, seorang lagi penggemar masakan itu, Muhammad Rezuwan Mazlan, 39, pula memberitahu, kebiasaannya kepala lembu akan menjadi rebutan dalam kalangan umat Islam warga Bangladesh setiap kali ibadah korban dijalankan.

“Mereka (warga Bangladesh) akan datang ke tempat korban dan meminta izin untuk membawa pulang kepala beserta mata lembu. Bagi umat Islam sendiri, ramai yang tak gemar dan tidak akan ambil bahagian-bahagian tersebut.

“Malah, ada juga dalam kalangan kita akan menjadikannya dalam menu masakan gulai bersama ubi, terung dan bendi,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI