fbpx

Rasa nak ‘pecah dada’ zuriat disahkan tempurung kepala tak normal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Bertahun-tahun menunggu cahaya mata namun apabila mendapat berita kehamilan, zuriat dikandung mengalami pembentukan tempurung kepala tidak normal.

Tambah pilu apabila dimaklumkan, anak tersebut tidak mampu hidup selepas dilahirkan dan mungkin bernyawa untuk beberapa jam atau hari sahaja.

Itu kisah dikongsikan seorang pegawai perubatan swasta, Dr. Ahmad Samhan mengenai situasi dihadapi pasangan suami isteri apabila anak dikandung disahkan anencephaly atau kecacatan kongenital yang menyebabkan sebahagian tempurung kepala dan otak tidak terbentuk.

Menurutnya, keadaan tersebut berlaku sejak dari awal pembentukan janin lagi iaitu pada bulan pertama kehamilan.

“Waktu ini kebanyakan ibu belum sedar mereka sudah pun mengandung. Seawal usia tiga hingga empat minggu, sistem saraf mula terbentuk di mana sel-sel menggulung dan bercantum membentuk neural tube.

“Neural tube ini seterusnya akan membentuk sistem saraf tunjang dan otak,” katanya menerusi hantaran media sosial.

Maklumat mengenai bayi menghidap anencephaly dikongsikan Dr. Ahmad Samhan di media sosial

Beliau berkata, sekiranya tidak bercantum dengan sepenuhnya, ia boleh mengakibatkan kecatatan pada saraf tunjang dan otak iaitu dipanggil Neural Tube Defects (NTD)

Jenis kecacatan itu seperti encephalocele (ada lubang pada tempurung kepala yang menyebabkan sebahagian otak terkeluar), anencephaly (sebahagian tempurung kepala dan otak tidak terbentuk), manakala spina bifida (tulang belakang tidak tutup dengan sempurna menyebabkan sebahagian saraf tunjang terkeluar dan rosak).

Mengulas lanjut, Dr. Ahmad Samhan berkata, tiada sebab jelas punca kejadian tersebut, tetapi ia dikatakan berkait rapat dengan genetik, persekitaran dan pemakanan.

“Pengambilan asid folik telah terbukti mencegah NTD sebanyak 80 hingga 90 peratus. Justeru, langkah pencegahan disarankan mengambil asid folik 400 mcg sehari. Kadang-kala tidak boleh jumpa dos itu, jadi 1,000 mcg (1mg) pun tidak apa.

“Diambil sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum hamil hingga minggu ke-12 kehamilan. Dapatkan nasihat pakar genetik bagi pasangan pernah ada sejarah bayi anacephaly untuk mengelak risiko berlaku sekali lagi.

“Untuk wanita pernah ada kehamilan bayi dengan kecacatan NTD atau menghidap kencing manis, dos disarankan ialah 5,000 mcg (5mg) sehari dan perlu ambil tiga bulan sebelum hamil,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI