KEBANYAKAN kanak-kanak dan remaja yang menghuni Pondok Al-Jaafar, Gopeng ditinggalkan begitu sahaja oleh ibu dan bapa mereka.

Janji hantar sekejap, terus tak nampak ‘batang hidung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GOPENG – Secara purata seramai 20 kanak-kanak dan remaja berumur lapan hingga 17 tahun menghuni Pondok Al-Jaafar di sini setiap tahun ekoran dibuang keluarga, perceraian ibu bapa serta faktor kewangan.

Pengasasnya, Mohd. Tarudi Bahari, 71, berkata, kebanyakan kes yang beliau hadapi, ibu bapa kepada kanak-kanak dan remaja tersebut berjanji untuk mengambil anak-anak mereka selepas beberapa tempoh tetapi itu sekadar janji kosong.

“Sama ada ibu atau bapa yang menghantar anak mereka ke sini kerana beberapa faktor terutamanya perceraian berjanji akan mengambil zuriat mereka kembali tetapi itu sekadar janji semata-mata.

“Bulan pertama, kedua atau ketiga mereka masih datang me­lawat, tetapi selepas itu terus hilang. Cubaan untuk menghubungi dan berjumpa berdasarkan alamat yang diberikan gagal malah ada yang palsu,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Kira-kira 30 peratus daripada 100 pusat jagaan dan belajar al-Quran ini merupakan kanak-kanak dan remaja dengan majo­ritinya lelaki.

Mohd. Tarudi berkata, terdapat beberapa kes terutama melibatkan remaja yang terlibat dalam masalah sosial tidak terkawal menyebabkan ibu bapa gagal memulihkan mereka.

“Mereka merayu kepada saya setelah berbagai cara untuk memulihkan mereka menemui kegagalan. Saya tidak sampai hati untuk menghampakan mereka.

“Malah, ada yang telah pulih, bekerja dan berkahwin dengan pekerja di pondok ini kerana perhubungan kami yang rapat ibarat keluarga,” katanya.

Beliau juga menceritakan terdapat juga kes mereka mereka menjaga kanak-kanak yang mengemis bersama ibunya selain menetap di bawah jambatan termasuk di taman awam.

“Saya terlibat dalam beberapa perniagaan yang memerlukan berjumpa pelanggan sekitar bandar-bandar utama.

“Semasa berjumpa dengan pelanggan, saya ternampak ada kanak-kanak remaja yang mengemis bersama ibunya selain tidur di jambatan dan taman awam.

“Saya tidak sampai hati untuk melihat keadaan mereka sebegitu, jadi saya pujuk menetap di pondok ini.

“Setelah beberapa lama, ada yang telah berjaya, berkahwin selain mempunyai pendapatan sendiri yang cukup untuk menampung kehidupan,” katanya.

Namun, beliau agak sedih apabila melihat sendiri pengalaman kanak-kanak yang menyambut Hari Raya Aidilfitri buat pertama kali di pondok itu terutama yang ditinggalkan oleh ibu bapa sen­diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN