KEKURANGAN bekalan minyak masak yang berlaku baru-baru ini menyebabkan orang ramai ketakutan dan berusaha mendapatkannya di mana sahaja yang ada biarpun jauh dari tempat tinggal. – GAMBAR HIASAN

Pembelian panik beri kesan kepada ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEKURANGAN beberapa barangan keperluan di kedai runcit sejak beberapa bulan kebelakangan ini telah membimbangkan orang ramai di pelbagai peringkat.

Harga minyak masak telah meningkat begitu tinggi sehingga sukar untuk didapati di kedai pada masa-masa tertentu.

Ramai orang berpusu-pusu, malah berebut-rebut mendapatkan bahan-bahan ini walaupun mereka menunggu lama atau menempuh jarak yang jauh dari rumah ke destinasi mereka.

Situasi ini yang boleh dipanggil pembelian panik telah menjadi tajuk utama di beberapa akhbar, televisyen, malah media sosial seperti WhatsApp, Facebook dan lain-lain.

Dari segi psikologi, ini memberi impak kepada masyarakat dalam bertindak balas terhadap situasi tersebut, bahkan sehingga ke tahap boleh membuat semua orang takut dan cemas kerana tidak diketahui berapa lama keadaan itu akan berakhir.

Keadaan ini mendorong orang ramai untuk bersikap individualistik. Semua orang berfikir bagaimana untuk menyelamatkan diri dan keluarga semasa ketidaktentuan itu.

Keadaan dan situasi yang berlaku mencetuskan gelagat pembelian panik oleh ramai orang.

Dalam keadaan ini, tidak mustahil, orang ramai akan mengehad dan mengurangkan urus niaga mereka untuk sektor tertentu, sebaliknya lebih mengutamakan barangan keperluan rumah seharian.

Ini dapat dilihat pada bilangan orang ramai yang bersaing untuk membeli-belah di kedai dalam kuantiti yang banyak bagi membeli keperluan isi rumah agar mendapatkan stok bekalan lebih panjang dan tidak kekurangan bekalan dalam memenuhi keperluan harian mereka.

Tingkah laku pembelian panik yang berlaku baru-baru ini telah memberi kesan kepada pelaku perniagaan yang menjual produk atau syarikat yang mengeluarkan produk.

Pembelian panik yang berlaku adalah peristiwa luar biasa apabila orang ramai membuat pembelian lebih banyak daripada lazimnya.

Kita dapat lihat bahawa membeli barang keperluan dalam menghadapi pandemik adalah tindak balas tingkah laku semula jadi masyarakat terhadap kehilangan kawalan psikologi.

Faktor lain yang mendorong pembelian panik adalah kerana ketakutan yang menular melalui media sosial.

Pembelian barangan keperluan asas secara mendadak ini juga boleh ditafsirkan sebagai reaksi terhadap perasaan tertekan dan tidak menentu.

Malah, tindakan itu boleh dianggap sebagai satu bentuk penyelesaian masalah yang mungkin meningkatkan perasaan kawalan mereka terhadap situasi yang dihadapi.

Pembelian panik boleh berlaku daripada beberapa peristiwa yang berbeza. Umumnya, pembelian panik berlaku kerana permintaan yang meningkat seterusnya membawa kepada kenaikan harga.

Pembelian dan penjualan panik secara besar-besaran boleh memberi kesan dramatik yang membawa kepada perubahan pasaran dalam pelbagai senario.

PEMBELIAN panik juga didorong oleh penularan ketakutan yang dicetuskan di media sosial. – GAMBAR HIASAN

Sesetengah laporan mengaitkan pembelian panik itu disebabkan oleh ketidakpercayaan yang semakin meningkat terhadap keadaan semasa.

Belajar daripada peristiwa yang berlaku akibat kekurangan beberapa keperluan rumah, alat perubatan, produk kesihatan dan lain-lain, tingkah laku pembelian pengguna untuk sesuatu produk menyerlah semasa pandemik.

Sebelum ini, apabila membuat pembelian, nilai jenama sesuatu produk sering dititiberatkan, namun semasa pandemik, pertimbangan telah beralih kepada pembelian produk bukan semata-mata berdasarkan jenama.

Dalam keadaan normal, jenama mempengaruhi keputusan pembelian pengguna selain pengiktirafan jenama.

Namun, dalam mendepani situasi semasa, mereka tidak lagi memikirkan jenama apa yang hendak dibeli, sebaliknya jenama apa saja selain lebih mengutamakan kualiti produk biarpun daripada jenama bukan pilihannya.

Sebagai contoh, apa yang berlaku dalam beberapa minggu kebelakangan ini ialah kekurangan minyak masak. Disebabkan kekurangannya, orang ramai panik, jika mereka tidak mendapatnya.

Mereka sentiasa mencari di mana minyak masak boleh didapati tidak kira jenama apa yang perlu dibeli selagi ada, walaupun mereka perlu menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkannya.

Sedangkan sebelum ini, pengguna cenderung hanya membeli jenama tertentu yang dianggap berkualiti dan mengikut cita rasa mereka.

Dimangkin dengan kemajuan teknologi digital melalui media sosial dan platform e-dagang yang semakin pesat, pengguna juga boleh
‘memborong’ dengan lebih mudah apabila orang ramai sebagai pengguna internet dapat bergerak dari satu laman web ke laman web yang lain tanpa had ketika membeli-belah.

Dengan itu pilihan akan lebih mudah diperoleh selain boleh diakses, manakala barangan dan perkhidmatan mempunyai banyak alternatif mengikut kemampuan atau kuasa beli masing-masing.

AFIZAN AMER ialah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Kampus Rembau, Universiti Teknologi Mara Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN