fbpx

Draf RUU anti lompat parti berjaya dimuktamadkan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Junaidi

PUTRAJAYA – Draf Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti dimuktamadkan hari ini dan bakal dibentangkan pada sidang Parlimen bermula pada 18 Julai hingga 4 Ogos depan. 

Perkara itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti Bil. 6 2022, hari ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, mesyuarat sama telah pun meneliti draf berkenaan. 

Beliau berkata, beberapa persoalan dibangkitkan Jemaah Menteri pada 1 Jun 2022 lalu dan persoalan tersebut telah dijawab jawatankuasa pilihan khas serta dipanjangkan ke Mesyuarat Jemaah  Menteri pada pagi tadi.

“RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti serta penyata (Laporan) daripada jawatankuasa pilihan khas tersebut akan dibentangkan (laid)  atau diletakkan di atas meja Ahli Dewan Rakyat di Parlimen pada 18 Julai ini. 

“Penyata (Laporan) dan pindaan perlembagaan itu akan dijadikan rujukan kepada semua Ahli Dewan Rakyat,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini. 

Wan Junaidi berkata, RUU yang dicadangkan akan dibahaskan pada 27 dan 28 Julai 2022 di Dewan Rakyat namun, ia tertakluk kepada budi bicara Yang Di-pertua Dewan Rakyat.

Menurutnya, Garis masa Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) juga mencadangkan supaya libat urus pihak Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Jabatan Peguam Negara bersama Ahli Dewan Rakyat Kerajaan diadakan pada 25 Julai 2022 dan libat urus bersama Ahli Dewan Rakyat pembangkang berlangsung pada 26 Julai 2022.

Katanya, setelah mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, RUU itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan di antara 11 hingga 26 Ogos 2022 untuk diperkenankan sebelum pewartaannya dijangka bakal dibuat antara 29 Ogos hingga 2 September 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI