fbpx
Yacob sering menghabiskan masa di kandang ternakan kibas setiap hari bagi memastikan keperluan ternakan tersebut sentiasa terjaga dan kesihatan ternakan terjamin.

Yacob lebih serasi ternak kibas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Tekad untuk tidak membiarkan waktu emas sebagai pesara membazir begitu sahaja, seorang bekas anggota polis aktif mengusahakan ternakan kibas di sebuah kawasan di Kepala Batas dekat sini.

Hanya bermula sebagai aktiviti meme­nuhi waktu lapang, pemilik syarikat Fariza Mutia­ra Agrofarm, Yacob Adamsah, 61, mendapati ternakan kibas yang diusahakan sejak tahun 2018 itu lebih berbaloi dan menawarkan pendapatan yang baik berban­ding perusahaan ternakan ayam dan itik yang diusahakan sebelum ini tetapi ti­dak menjadi.

“Ketika mengusahakan ternakan ayam dan itik sekitar tahun 2016, saya merasakan ia berkait dengan pelbagai faktor terma­suk perlu memastikan tempat ternakan tidak mengganggu kawasan persekitaran sekiranya dibina berhampiran kawasan penempatan.

“Ladang ternakan ayam dan itik boleh menjurus kepada masalah pencemaran bau dan juga mengga­lakkan kehadiran lalat ke kawasan penempatan.

“Jadi, saya ambil keputusan untuk tidak meneruskan ternakan ayam dan itik sebaliknya ­beralih kepada ternakan kibas yang dirasakan lebih mudah untuk mengendalikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di ladang mini ternakan kibas miliknya yang terletak di Kampung 20, Penaga, Kepala Batas di sini baru-baru ini.

Yacob menerangkan, pada peringkat permulaan, kibas yang diternak di kawasan seluas 0.4 hektar itu adalah sebanyak empat ekor sahaja yang merupakan baka berasal dari negara Austra­lia dan Mesir.

“Kini, setelah empat tahun, jumlah haiwan ternakan itu sudah mencecah 70 ekor termasuk 12 ekor anak kibas.

“Kalau ikutkan, jumlah kibas yang ada adalah kira-kira 100 ekor tetapi semua itu sudah ditempah pelanggan untuk majlis akikah sebelum ini,” kata bapa kepada empat cahaya mata itu.

Mengulas mengenai mengenai permintaan kibas pada sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini, Yacob berkata, tawaran jualan adalah pertama kali dibuka kepada pe­langgan memandangkan jumlah bila­ngan kibas sudah meningkat sesuai dengan usia kibas untuk dijadikan ternakan korban.

“Orang ramai sudah mula menerima daging kibas untuk dijadikan pilihan sebagai daging korban,” katanya sambil menambah harga seekor kibas dijual pada harga RM1,000 hingga RM1,600 bergantung kepada saiz dan baka kibas itu sendiri.

Selain itu, Yacob menerangkan, buat masa ini kerja-kerja pengurusan kibas dilakukan sepenuhnya bersama isteri, Fariza Abu Bakar, 51, yang juga seorang guru di sebuah sekolah dekat Seberang Perai Utara, Butterworth.

“Setiap kali selesai kerja, isteri akan datang ke ladang untuk menguruskan keperluan kibas daripada aspek memantau kesihatan kibas serta menguruskan keper­luan asas yang lain.

“Saya pula akan menguruskan kebersihan kandang kibas, kerja-kerja baik pulih kandang serta mendapatkan keperluan makanan kibas termasuklah mencari pelepah kelapa sawit setiap hari di kawasan sekitar,” katanya lagi.

Yaacob menerangkan, kos ma­kanan kibas tidak termasuk dedaun dan rerumput yang rata-ratanya terdiri daripada bijirin oat, hampas soya serta kacang sepat menelan belanja sekitar RM1,500 sebulan.

Beliau yang pernah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 33 tahun turut menambah, pihaknya juga ingin mengembangkan cabang perniagaan kepada jualan daging kibas sejuk beku serta menghasilkan baja organik yang diperbuat daripada sisa buangan kibas secara komersial.

“Usaha menternak biak kibas yang kami lakukan ini juga adalah alternatif untuknya mengurangkan kebergantungan hasil terhadap ternakan import kerana merasakan terdapat peluang cerah daripada permintaan kibas dalam pasaran tempatan.

“Melihat kepada industri yang berpotensi itu, saya dan isteri sudah mula mengeluarkan produk daging kibas sejuk beku secara kecil-kecilan yang dijual menggunakan platform media sosial. Hasilnya begitu memberangsangkan.

“Selain itu, saya dan isteri juga berhasrat untuk membuka pusat ternakan kibas tempatan selain ingin mengusahakan kolam ikan bagi kaki pancing.

“Kolam itu terletak berhampiran ladang kibas sebagai tempat tarikan orang ramai yang mana kolam tersebut kini dalam peringkat pembinaan,” katanya.

Beliau juga telah mendapat kelulusan bagi mengusahakan ternakan dari Majlis Bandaraya Seberang Perai serta berdaftar di bawah Jabatan Per­khidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang.

Yacob menambah, meskipun dirinya tidak mempunyai sebarang pengalaman menguruskan kibas sebelum ini tetapi dia gemar bertanya dan bertukar-tukar pendapat dengan individu yang berpengalaman dalam bidang ternakan kibas selain turut mengutip ilmu melalui pembacaan dan juga melalui saluran Youtube.

“Sekarang dunia sudah sema­kin maju dan canggih. Jadi, saya mengambil kesempatan ini untuk meluaskan ilmu pen­getahuan dalam bidang penja­gaan haiwan ternakan terutamanya kibas seterusnya menerapkan kaedah penjagaan secara praktikal.

“Kepesatan teknologi masa kini ternyata banyak memberi manfaat kepada warga emas se­perti saya,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN