fbpx

Proses mengundi di Jepun diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pengundi membuang undi semasa pilihan raya Dewan Negara Jepun di sebuah pusat mengundi di Tokyo, semalam. - AFP

TOKYO – Pilihan raya Dewan Negara Jepun tetap diteruskan seperti dijadualkan semalam, dua hari selepas peristiwa berdarah melibatkan pembunuhan bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe.

Pilihan raya tersebut dijangka memberi kemenangan mudah dan pengukuhan sokongan majoriti Parti Demokratik Liberal (LDP) yang dianggotai mendiang Abe.

Perdana Menteri, Fumio Kishida dan ahli politik lain menegaskan bahawa pembunuhan mengejut itu tidak akan menghentikan proses demokrasi dan mengambil keputusan untuk meneruskan proses undian.

“Kita tidak boleh sekali-kali membenarkan keganasan menyekat kebebasan bersuara semasa pilihan raya, yang merupakan asas demokrasi,” kata Kishida.

Beliau sempat meluangkan masa untuk mengucapkan takziah di rumah keluarga Abe di Tokyo, di mana mayat beliau tiba pada petang kelmarin.

Kishida, 64, pernah digambarkan sebagai antara pengganti pilihan Abe dan memegang majoriti kukuh di Parlimen bersama parti gabungan, Komeito.

Bagaimanapun, beliau berdepan cabaran dasar getir termasuk kenaikan harga dan kekurangan tenaga, terutamanya selepas fenomena gelombang haba awal musim panas yang membawa kepada masalah tenaga.

Pembunuhan Abe yang berlaku pada petang Jumaat lalu menggemparkan dunia apabila beliau dibunuh oleh pesara tentera maritim, Tetsuya Yamagami,41, menggunakan senjata buatan sendiri.

Yamagami dipercayai berdendam dengan sebuah organisasi yang tidak dinamakan dan percaya mendiang merupakan sebahagian daripada pertubuhan tersebut.

Media tempatan menyifatkan organisasi itu sebagai pertubuhan agama dan berkata keluarga Yamagami mengalami masalah kewangan akibat sumbangan ibunya kepada kumpulan itu. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI