ZAINAL dan isteri terkejut apabila mendapati stesen minyak yang dikunjungi untuk solat dan berehat rupanya sudah lama ditinggalkan pemiliknya. –ILUSTRASI SHAH HASAN

Ditegur lelaki misteri di surau terbiar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP kali mengenangkan peristiwa seram yang berlaku kepada dirinya beberapa tahun lalu, bulu roma Zainal (bukan nama sebenar) serta-merta meremang.

Tidak pernah terlintas di fikirannya berhenti di sebuah stesen minyak yang dilihatnya penuh dengan pelanggan pada mulanya, rupanya telah lama usang kerana ditinggalkan pemiliknya.

Paling dia tidak boleh lupakan adalah menjadi imam solat kepada makhluk halus pada malam kejadian itu.
Berkongsi kisah, menurut pemuda berasal dari Selatan tanah air itu, semuanya berlaku ketika dia pulang ke kampung mertuanya di Pantai Timur.

Perjalanan yang mengambil masa lebih 10 jam dari Melaka ke negeri Che Siti Wan Kembang itu menyebabkan dia tiba ke lokasi tujuan lewat malam.

“Itu merupakan kali kedua saya pulang ke kampung mentua sejak berkahwin.

“Kami bertolak dari kediaman ketika matahari mula terbit.

“Kami hanya memasuki sempadan negeri tersebut apabila hari sudah memasuki waktu Isyak. Pada waktu itu, jarak untuk ke kediaman mentua mengambil masa kira-kira dua jam,” ujarnya.

Bimbang tidak larat dan mengantuk, Zainal dan isteri mengambil keputusan untuk berhenti di sebuah stesen minyak yang terletak di sebuah pekan lama bagi berehat dan menunaikan solat.

Dari jauh, stesen tersebut kelihatan ‘hidup’ dengan deretan kenderaan yang ingin mengisi minyak. Di dalamnya pula sibuk dengan para pelanggan yang mahu membeli kudap-kudapan.

Disebabkan isterinya pada waktu itu dalam keadaan ‘uzur’, Zainal turun berseorangan menuju ke surau.

“Saya mahu terus tidur sebaik tiba di rumah mentua. Penat apabila mata perlu fokus pada pemanduan lebih 10 jam.

“Tidak keseorangan, setibanya saya di surau, saya lihat seorang lelaki bersama dua anaknya sedang mengambil wuduk. Tiba-tiba lelaki itu menyapa dan bertanya adakah saya boleh mengimamkan solat.

“Melihatkan dirinya yang bersungguh-sungguh, saya bersetuju walaupun pada awalnya agak keberatan dan tidak yakin. Mana tidaknya, sebelum ini saya tidak pernah mengimamkan mana-mana individu melainkan isteri dan keluarga,” katanya.

Sedang khusuk bersolat, Zainal terdengar pintu surau diketuk dengan kuat. Berasakan situasi tersebut biasa berlaku di stesen minyak, terutamanya di kawasan luar bandar, Zainal meneruskan solat sehingga selesai rakaat terakhirnya.

Ketika memberi salam, dia menyedari lelaki bersama anaknya itu sudah tiada.

Dia tidak mengesyaki sesuai yang pelik dan beranggapan ia mungkin disebabkan mereka tergesa-gesa untuk ke lokasi seterusnya.


STESEN minyak terbiar mempunyai 1,001 satu cerita seram yang tidak terungkap. – GAMBAR HIASAN

“Saya kemudian membuka pintu yang diketuk tadi. Alangkah terkejutnya apabila melihat tiga anggota polis di hadapan pintu.

“Dia bertanya apa yang saya lakukan di surau tersebut pada lewat malam. Tanpa teragak-agak saya terus menjawab sedang menunaikan solat bersama seorang lelaki bersama anak-anaknya,” tambahnya.

Cerita Zainal lagi, wajah polis tersebut berubah serta-merta apabila diberitahu keberadaannya di situ yang menunaikan solat bersama individu lain.

Zainal kemudian dinasihatkan untuk segera beredar dan berhenti di stesen lain memandangkan kawasan tersebut telah lama ditutup.

Dia terkejut apabila mendengar perkara itu kerana sewaktu memasuki stesen minyak tersebut, ia kelihatan meriah dan tidak seperti yang didakwa anggota polis terbabit.

“Sambil berlari menuju ke arah kenderaan, saya sempat menjeling sekitar stesen minyak tersebut. Ternyata benar seperti yang dikata, stesen minyak kosong terbiar dan hanya dipenuhi semak samun dan lalang.

“Saya terus memecut laju kenderaan sehingga tiba ke rumah mentua,” kongsinya.

Sepanjang perjalanan tersebut, isterinya sempat bercerita kisah aneh yang berlaku sepanjang ketiadaan Zainal, selain ‘dihalau’ oleh polis.

Kata isterinya, tidurnya diganggu dengan mimpi aneh sebelum dikejutkan dengan ketukan kenderaan yang kuat oleh anggota polis peronda.

Selepas diberi amaran, isterinya mula berasa seram apabila menyedari stesen minyak yang dikunjungi itu kelihatan seperti sudah lama ditinggalkan.

Lebih menyeramkan, dia turut terlihat kelibat juruwang wanita di dalam stesen minyak yang kosong itu merenung tajam ke arahnya.

“Isteri berkata, mujur saya tiba ke kenderaan tidak lama selepas itu,” ujarnya.

Sempat bercerita kisah kepada keluarga, kata mereka, stesen minyak itu telah lama terbiar dan mempunyai ‘penunggu’ ketika masih beroperasi.

“Bukan saya sahaja yang menjadi mangsa, malah ada beberapa individu lain yang turut menerima nasib seperti saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN