fbpx

Hina mahkamah, Lokman pilih untuk dibicarakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokman

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam memilih untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini dalam prosiding menghina mahkamah yang dikenakan terhadapnya kerana mengeluarkan kata-kata tidak wajar kepada seorang anggota polis dan mempersoalkan sistem mahkamah.

Dalam prosiding hari ini di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, peguam K.Balaguru yang mewakili Lokman memberitahu anak guamnya mahu prosiding tersebut diteruskan.

Terdahulu, Balaguru berkata pihaknya memohon supaya prosiding itu didengar di hadapan hakim lain kerana terdapat pelbagai versi mengenai kejadian itu.

“Anak guam saya tidak memanggil anggota polis mahkamah iaitu Lans Koperal Walter ‘bodoh’ seperti  yang dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran kepada mahkamah pada 30 Jun lalu, sebaliknya menyatakan prosedur operasi standard (SOP) mahkamah bodoh kerana bersikap tidak adil kepadanya.

“Perlakuan anak guam saya itu diberitahu oleh Walter kepada penolong kanan pendaftar yang kemudian memberitahu kepada Raja Rozela sebelum memaklumkannya kepada mahkamah,”.

Menurut peguam itu,  kejadian tersebut sepatutnya disiasat terlebih dahulu sebelum mahkamah mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Lokman.

Balaguru berkata beliau turut menasihatkan Lokman untuk tidak membuat permohonan maaf kerana anak guamnya itu tidak melakukan perkara seperti yang didakwa.

“Kejadian itu berlaku di galeri awam dan tidak mengganggu prosiding mahkamah,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah yang membantu mahkamah dalam prosiding itu pula membantah permohonan peguam supaya hakim lain mendengar kes itu kerana kejadian tersebut berlaku di hadapan Hakim Sequerah dan beliau berhak mendengarnya.

“Isu menghina mahkamah ini bukan melibatkan penggunaan telefon, sebaliknya melibatkan kehormatan sistem kehakiman yang ketika itu sedang berlangsung prosiding perbicaraan di mahkamah. Apabila masuk sesuatu tempat, ada peraturan yang perlu diikuti supaya prosiding berjalan lancar dan jika seseorang itu tidak mengikut peraturan, ia dikira sebagai menghina mahkamah,” kata Izalina.

Dalam pada itu hakim Collin turut menolak permohonan Balaguru supaya kes itu didengar di hadapan hakim lain dengan alasan insiden itu berlaku di hadapannya. Berikutan itu mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan pada 3 Ogos ini.

Pada 30 Jun lalu, Lokman dikenakan notis tunjuk sebab selepas lelaki itu didakwa telah mengeluarkan perkataan `bodoh’ ketika ditegur polis mahkamah kerana `bermain’ telefon.

Perkara tersebut berlaku sewaktu mahkamah sama sedang mendengar perbicaraan kes Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa atas 47 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI