fbpx

Minyak masak RM1.5 juta dirampas di empat negeri sempadan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KLANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan rampasan minyak masak peket bersubsidi berjumlah RM1.5 juta melibatkan empat negeri di sempadan negara.

Kesemua rampasan yang meliputi sempadan Kelantan, Kedah, Sabah dan Sarawak direkodkan sepanjang tempoh 1 Januari lalu sehingga semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya memperhebatkan operasi
penguatkuasaan selepas mendapati wujud kegiatan penyeludupan minyak masak paket ke negara jiran.

Katanya, pelaksanaan operasi itu membuahkan hasil dengan merekodkan sebanyak 61 kes termasuk melibatkan individu dan peniaga.

“Rampasan minyak masak berjumlah RM1.5 juta itu meliputi sempadan empat negeri sama ada laluan darat mahupun laut termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kesemua kes berkenaan disiasat dan diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya ketika melakukan lawatan kerja di Carsome Certified Lab di Bukit Raja di sini, hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan melakukan pengauditan dan pemutihan komprehensif melibatkan 22 pengeluar serta 305 premis pembungkusan semula minyak masak paket di seluruh negara.

Beliau turut mengarahkan penguatkuasa seperti KPDNHEP, PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggempur daripada peringkat kilang pembungkusan hingga ke sempadan negara bagi memastikan tiada penyelewengan berlaku.

Jelas Alexander, KPDNHEP sedang merangka beberapa strategi bagi menangani isu penyeludupan itu termasuk menubuhkan jawatankuasa khas dan bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan.

“Seperti yang diumumkan sebelum ini,  agensi yang akan membantu kita antaranya PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Selain itu, kita melaksanakan Ops Samar menerusi penguatkuasa yang tidak berpakaian uniform dan pegawai khas yang menjalankan pemantauan rutin,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya mengakui kes penyeludupan minyak masak itu bukan perkara baharu dan berlaku sejak sekian lama.

“Namun, ia tidak begitu ketara sebelum ini kerana perbezaan harga bersubsidi dengan tidak bersubsidi amat sedikit.

“Penyeludupan kini bagaimanapun lebih berleluasa sama ada melibatkan penggunaan isi rumah mahupun berskala besar,” katanya.

Dalam pada itu, Alexander menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat sekiranya berlaku isu ketirisan minyak masak.

“Jika mereka terima aduan dan mahu siasat, itu terpulang kepada mereka.KPDNHEP tiada larangan dan tidak ada masalah dengan perkara berkenaan,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI