SELESAI menghantar anaknya ke sekolah pagi itu, Siti Nurwajihah Abdul Karim, 35, memandu kenderaannya ke satu ladang sayur bagi mengambil bekalan sayur-sayurannya yang sudah ditempah menerusi langganan bulanan.
Selain dipetik segar, sayur-sayuran yang diletakkan dalam beg seberat sekitar satu kilogram itu adalah bebas daripada semburan racun perosak, menjadikan ia sebagai pilihan yang lebih enak dan menyihatkan.
“Dengan melanggan sayuran ini, ia memudahkan saya untuk mendapatkan bekalan sayur secara berterusan tanpa perlu berebut sayur di pasar.
“Selain mudah, saya juga yakin dengan tahap keselamatan dan kebersihan sayur-sayuran ini memandangkan ia ditanam secara pertanian bandar tanpa menggunakan bahan perosak,” kata Siti Nurwajihah kepada K2.
Begitulah rutin Siti Nurwajihah yang berasal dari Subang Jaya, Selangor setiap Jumaat. Jelasnya, biarpun langganan sayur itu secara bulanan, namun dia boleh mengambil bekalan aneka sayur segar dari ladang berkeluasan 371.6 meter persegi itu setiap minggu.
Pertanian bandar yang lazimnya mempraktikkan kaedah penanaman sayuran secara indoor (dalam bangunan) menggunakan kaedah penanaman organik dan tidak melibatkan penanaman di dalam bidang-bidang tanah.
Pertanian seumpamanya dipercayai mula dicipta pada kurun ke-20, namun konsep tersebut hanya mula diamalkan di Armenia pada tahun 1951 menerusi pembinaan unit menara hidroponik.
Kaedah tersebut yang juga digelar vertical farming merupakan kaedah penanaman sayur secara besar-besaran secara bertingkat, sama ada secara hidroponik, akuaponik dan aeroponik.
Pertanian urban atau bandar merupakan proses penanaman, pemprosesan dan pengedaran makanan di kawasan bandar. Ia menggunakan sistem pintar yang mampu menghasilkan sayur-sayuran lebih bermutu tinggi, segar dan juga memiliki rasa lebih enak kepada warga kota.

Bersama misi menghasilkan tanaman lebih lestari, syarikat Sunway XFarms yang terletak di Subang Jaya memperkenalkan hasil tanaman bebas bahan perosak yang boleh dinikmati terus oleh pengguna.
Ketua Pegawai Operasi Sunway XFarms, Eleanor Choong berkata, pertanian bandar merupakan satu kaedah melestarikan alam selain merupakan salah satu kaedah bagi memberikan bekalan sayur secara persendirian kepada pengguna.
“Misi kami adalah untuk memberikan bekalan tanaman yang dekat dengan pengguna, sekali gus mengurangkan kesan karbon serta pembaziran nutrisi pada sayur-sayuran yang berlaku akibat proses ‘perjalanan’ makanan yang kompleks,” ujarnya sambil menambah bahawa ladang indoor terbesar di Kuala Lumpur akan dibuka syarikat itu di Jalan Ampang pada September depan.
Mengekalkan konsep sama dengan di Subang Jaya, ladang tiga tingkat seluas 3,437.4 meter persegi itu juga dijangka akan menghasilkan 13,000 kilogram sayuran bebas bahan perosak sebulan yang boleh dinikmati penduduk sekitar.
Tambah Chong, ketika ini, terdapat 30 jenis sayuran yang ditanam di Sunway XFarms seperti mustard looseleaf, dwarf pak choy, chinese ong king dan choy sum.
Kesemua sayuran tersebut boleh dilanggan menerusi perkhidmatan langganan yang mudah dan menjimatkan.

Menerusi langganan bulanan bermula RM105 tersebut, orang ramai sebagai contoh boleh mendapatkan sayuran berdaun pada kadar minimum 750 gram seminggu.
Sunway XFarms mengalu-alukan orang ramai untuk menikmati hasil tuaian ladangnya menerusi sistem langganan sayuran yang dipanggil Growners.
“Kami menjemput orang awam untuk menyokong penghasilan makanan tempatan dan menikmati hasil tanaman kami dengan mendaftar sebagai ahli Growners.
“Growners merupakan satu program yang memberi peluang kepada orang awam menikmati hasil tanaman segar secara langganan bulanan dan pelanggan boleh memilih sama ada untuk mengambil sendiri sayur-sayuran yang dilanggan dari premis kami atau pun dihantar terus ke pintu rumah mereka.
“Growners akan membayar yuran bulanan berpatutan yang membolehkan mereka menikmati hasil tanaman segar yang dihantar ke rumah mereka dalam masa kurang lima jam selepas dituai,” ujarnya sambil menambah buat masa ini perkhidmatan itu hanya terhad kepada pelanggan di sekitar Lembah Klang.
Selain itu, katanya, Sunway XFarms turut memperkenalkan program petani perintis yang terbuka kepada semua individu berusia 18 tahun ke atas untuk mula menjadi petani urban dengan menanam sendiri sayuran di premis-premis persendirian seperti rumah atau pejabat.

Jelas Eleanor, menerusi program yang berlangsung selama tiga bulan itu mereka yang menyertainya akan berpeluang mempelajari kaedah pertanian mampan di Sunway XFarms itu selain memperoleh pengalaman bergelar petani urban.
Setiap peserta hanya diperlukan untuk memberikan komitmen dengan menghabiskan masa selama empat jam seminggu mengikut kesesuaian jadual harian mereka.
“Kami telah pun melahirkan ramai perintis petani menerusi program ini kerana ia memberikan pendedahan terbaik kepada kaedah penanaman indoor dan pengalaman menjadi petani.
“Daripada situ, mereka akan belajar sistem pengawalan suhu dan sebagainya bagi memastikan tanaman mereka tumbuh dalam keadaan baik.
“Peserta yang berjaya menamatkan program itu juga akan diberikan sijil penyertaan,” ujar Eleanor.
Tambahnya, program itu juga membantu peserta untuk meningkatkan lagi mutu pengeluaran sayur-sayuran dalam negara sama ada untuk kegunaan persendirian atau pun untuk dijual.
Ia turut bertujuan untuk memberikan lebih kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan pertanian dalam bandar bagi menangani krisis bekalan makanan, selain meningkatkan tenaga kerja dalam industri pertanian.














