fbpx

Moratorium sewaan enam bulan kepada pengusaha makanan di IPTA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noraini Ahmad

PUTRAJAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melaksanakan moratorium bayaran sewaan enam bulan bermula daripada bulan ini kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan tanggungan kos sewaan tersebut boleh diserap bagi menurunkan harga makanan dijual kepada pelajar.

Beliau berkata, pihaknya sedia maklum mengenai peningkatan harga barangan dalam negara yang turut memberi kesan kepada harga makanan di kampus sekali gus menggusarkan pelajar ketika ini.

“Kami sentiasa prihatin dan cakna terhadap kebajikan pelajar di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bagi memastikan sesi pembelajaran dan pengajaran sepanjang pengajian mereka berjalan dengan lancar,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, KPT juga bersetuju dengan cadangan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) untuk membentuk Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia.

Noraini berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan sendiri olehnya sekali gus menyelaras dan melaksana dasar, memantau kawalan harga barang dan perkhidmatan serta membentuk jaringan kolaborasi dengan pihak berkepentingan secara holistik.

Ujar beliau, jawatankuasa berkenaan turut disokong di peringkat institusi, melalui jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Naib Canselor, Rektor atau Pengarah bagi memperkemas pelaksanaan ke atas keputusan dasar yang dibuat di peringkat KPT.

“Pada masa sama, KPT akan memperkasa inisiatif Food Bank Siswa dan Food@Campus di IPT dengan kerjasama pelbagai kementerian, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan badan-badan persendirian.

“Food Basket Siswa Keluarga Malaysia pula akan diperkenalkan sebagai inisiatif tambahan yang akan menawarkan menu makanan berkualiti dengan harga siling RM3.50 bagi satu hidangan,” katanya.

Katanya, kemudahan pengangkutan pelajar dalam dan ke luar kampus akan turut ditambahbaik melalui penyediaan jadual pergerakan yang lebih kerap agar memudahkan dan menjimatkan masa perjalanan aktiviti harian pelajar. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI