fbpx

Warga emas nyaris ditimpa bumbung dan pokok tumbang dipanah petir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN rumah mangsa yang rosak ditimpa dua batang pokok di Felda Purun dekat Bera semalam

BERA – Sebuah keluarga melalui detik cemas apabila rumah mereka ditimpa pokok yang tumbang dipercayai akibat panahan petir dalam kejadian ribut di Felda Purun di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 6 petang itu turut menyaksikan seorang warga emas, Shahari Abdul Hammid,87, yang terlantar akibat penyakit Alzheimer nyaris ditimpa bumbung rumah yang jatuh.

Siti Fairus Shahari,38, berkata, kejadian itu menyebabkan mereka sekeluarga masih trauma yang mana kakaknya Roshaniza yang berumur 42 tahun mengalami demam sehingga hari ini.

“Semasa kejadian itu kakak sedang menyediakan minum petang, ayah berbaring di katil tengah rumah, dan ibu serta anak saya berada di bilik tidur belakang.

“Kakak saya dengar bunyi dentuman yang kuat tetapi langsung tidak menyangka pokok bacang dan kelapa tumbang menimpa bumbung rumah. Dia hanya sedar bila anak sulungnya menjerit sebelum kakak berlari melihat ayah.

“Ayah baring di katil tengah-tengah rumah, jadi bila pokok kelapa tumbang memang habis bumbung di situ, hampir-hampir sahaja jatuh menimpa ayah,”katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Aqil Rifqi Norisjinan,13, berkata, semasa kejadian keadaan begitu kelam kabut dan dia amat terkejut melihat keadaan datuknya yang hampir dihempap pokok dan buah kelapa.

Katanya, keadaan pokok yang tumbang selepas bunyi seakan tembakan dipercayai akibat pokok terkena panahan petir menyebabkan mereka semua terkejut dan berasa takut.

“Saya dengar bunyi kuat sangat, jadi saya dari ruang tamu ke dapur, tengok pokok kelapa dan hempap bumbung dan hujan masuk dalam bilik, habis basah kawasan ruang tengah.

“Hampir 50 biji buah kelapa jatuh atas bumbung, mujur tidak kena datuk dan pucuk kelapa tersangkut pada wayar elektrik, kalau tidak, memang hempap datuk,” katanya.

Difahamkan sebanyak 19 buah rumah rosak akibat kejadian ribut yang membadai Felda Purun, Felda Mayam dan Felda Bukit Kepayang di sini semalam. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI