fbpx

Tiada pengedar air zam zam di Malaysia – KKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mengesahkan tiada pengedar atau syarikat di Malaysia yang telah mendapat lesen bagi pengimportan dan penjualan air zam zam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan penolakan konsainan akan dilaksanakan sekiranya terdapat pengimportan air zam zam yang tidak berlesen, justeru air zam zam yang diiklan atau dijual di pasaran diragui ketulenannya.

“KKM mengambil maklum isu penjualan air zam zam secara online yang disiarkan oleh media tempatan pada 28 Jun lalu dan pemakluman berkaitan kesalahan penjualan air zam zam ini telah diuar-uarkan kepada orang ramai sejak tahun 2015 lagi.

“Air zam zam dikategorikan sebagai air mineral semulajadi yang termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan pengimportan produk itu memerlukan lesen punca air KKM setelah mendapat dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kerajaan Arab Saudi juga tidak mengeluarkan pengesahan tersebut kerana air zam zam tidak boleh dieksport dan diperdagangkan.

“Hasil daripada aktiviti penguatkuasaan yang telah dijalankan sejak 2012 hingga kini, nilai rampasan ke atas air zam zam di pasaran adalah berjumlah RM83,618.20.

“BKKM turut menjalankan saringan berterusan ke atas platform online dan sejumlah 237 iklan makanan telah dipadamkan kerana pelbagai kesalahan di bawah Akta Makanan 1983 juga Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Daripada jumlah tersebut, 32 iklan makanan yang dipadam adalah iklan air zam zam,” katanya.

Dr. Noor Hisham berkata, orang ramai dinasihati agar tidak membeli air zam zam dari mana-mana kedai atau secara online terutamanya pada musim haji ini kerana dikhuatiri ianya air zam zam tiruan.

“Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, pesalah yang disabitkan kesalahan menjual air minuman berbungkus dan air mineral semulajadi yang tidak berlesen boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” tegas beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI