fbpx

UMK kaji masalah capaian internet di tiga buah kampus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

BACHOK – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memandang serius kepentingan pembangunan prasarana termasuk kemudahan capaian internet yang boleh diakses di tiga kampus di Bachok, Kota di Pengkalan Chepa dan Jeli bagi memenuhi keperluan pelajar.

Naib Canselor UMK, Profesor Dr. Razli Che Razak berkata, Pusat Komputeran dan Informatik (CCI) sentiasa membuat persediaan awal dan membuat kajian terperinci bagi menambah baik perkhidmatan internet sedia ada.

Menurutnya, melalui kajian itu, pihaknya turut mengambil kira kadar pertambahan pelajar yang semakin meningkat dan kelajuan capaian internet sedia ada untuk tempoh tiga tahun.

“Kita telah meningkatkan kelajuan internet daripada 1.1 gigabit sesaat (Gbps) kepada 6.4 Gbps sejak Oktober 2019 melalui kerjasama Telekom Malaysia (TM) bagi memenuhi keperluan capaian dan liputan.

“Selain itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga sedang merangka tambahan kapasiti Malaysia Research and Education Network (MyREN) di institut pengajian tinggi daripada 1 Gbps kepada 10Gbps,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Razli berkata, pihaknya menyokong usaha pihak KPT dalam meningkakan MYREN melibatkan peralatan Core Switch,Multigig Access Switch, Transceiver dan Network Access Control.

Katanya, UMK telah mengambil pendekatan terbaik bagi mengatasi masalah capaian internet tidak stabil dengan melaksanakan pemantauan audit kualiti capaian internet secara berkala.

“Permohonan juga telah dibuat untuk menggantikan peralatan usang dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk menambah kuantiti penerima isyarat access point (AP) di kawasan titik buta di asrama dan kampus.

“Penambahan kouta MyREN oleh KPT dijangka diperoleh pada 2023 dan pihak universiti akan sentiasa memaklumkan kepada pelajar untuk memohon skim pakej peranti siswa yang ditawarkan oleh pihak kementerian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI