fbpx

Turki akhirnya sokong keanggotaan Sweden, Finland dalam NATO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Para pemimpin Turki, Finland, Sweden dan NATO memeterai memorandum ketika persidangan di Madrid, Sepanyol, semalam. - AFP

MADRID, SEPANYOL – Turki menyatakan persetujuan untuk menyokong keanggotaan Sweden dan Finland sebagai ahli Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selepas menolak cadangan tersebut sebelum ini, lapor saluran berita CNBC semalam.

Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg berkata, keputusan itu menjadikan kesemua 30 negara anggota blok tersebut kini bersetuju untuk menerima keanggotaan dua negara Nordic berkenaan.

Susulan itu, Turki, Sweden dan Finland kelmarin memeterai memorandum bagi mengesahkan sokongan Ankara terhadap bidaan Helsinki dan Stockholm ketika persidangan NATO di Madrid.

“Memorandum bersama ini menunjukkan komitmen Finland, Sweden dan Turki bagi memperluaskan sokongan antara satu sama lain terhadap sebarang ancaman keselamatan,” kata Presiden Finland, Sauli Niinisto dalam satu kenyataan.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sebelum ini membangkang permohonan Finland dan Sweden disebabkan sokongan kedua-dua negara itu terhadap organisasi Kurdish yang dianggap sebagai ancaman keselamatan bagi Ankara.

Kedua-dua negara itu menyatakan hasrat untuk menyertai NATO ekoran pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, yang telah mencetuskan kebimbangan bagi negara-negara di rantau itu.

“Langkah ini memberi isyarat jelas kepada Presiden Vladimir Putin bahawa ‘pintu’ NATO sentiasa terbuka.

“Beliau mahu pakatan NATO dikurangkan, sebaliknya apa yang berlaku adalah lebih ramai ahli NATO di sekeliling negaranya. Apa yang beliau dapat adalah berbeza dengan apa yang diharapkan,” ujar Stoltenberg.

Sweden dan Finland, yang telah sekian lama mengamalkan dasar berkecuali, mengubah pendiriannya selepas pencerobohan Russia ke atas Ukraine. Justeru pada bulan lepas, kedua-dua negara itu memohon untuk menyertai blok itu.

Dari segi kelayakan, kedua-dua negara itu memenuhi kriteria yang diperlukan untuk menjadi ahli NATO.

Antaranya termasuk mempunyai sistem politik demokrasi yang berfungsi, kesudian untuk menyediakan ketelusan ekonomi dan kebolehan untuk memberi sumbangan ketenteraan kepada misi-misi NATO. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI