fbpx

Sambung pengajian di TVET KPLB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelatih kursus kemahiran TVET KPLB mempamerkan kemahiran mereka pada Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KPLB di Dataran Amanjaya Mall, Sungai Petani kelmarin.

SUNGAI PETANI – Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memberi peluang kepada pelatih yang tidak mempunyai kelayakan akademik untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pelaksanaan TVET KPLB adalah berdasarkan kerangka sistem dengan laluan artikulasi bermula daripada peringkat sijil sehingga ke peringkat Hi-TVET.

“Ia bermula daripada peringkat Sijil Kemahiran Malaysia tahap satu hingga tiga di GiatMara, Kolej KEDA, Akademik Kemas dan PERDA Tech.

“Peringkat seterusnya adalah TVET Diploma di Institut Kemahiran Mara, Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Mara Japan Industrial Institute dan German Malaysia Institute sebelum peringkat Hi-TVET di Universiti Kuala Lumpur,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Penutup Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KPLB 2022 di Dataran Amanjaya Mall, di sini kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Muhamad Nur Aizat Noor Azam.

Abdul Rahman berkata, selain kemahiran teknikal, pelatih TVET KPLB turut dilengkapi pengetahuan dan kemahiran insaniah termasuk penguasaan bahasa kedua, iaitu Bahasa Inggeris.

Menurutnya, pendekatan itu bertujuan menjadikan graduan TVET KPLB memiliki pakej lengkap sebagai pekerja yang berkemahiran dan bersahsiah tinggi.

“Aspek keusahawanan menjadi antara perkara yang diberi penekanan dalam silibus TVET KPLB supaya pelatih mampu mencari dan mencipta pekerjaan serta membuka dan menguruskan perniagaan sendiri,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, program Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KPLB 2022 berupaya membuka mata masyarakat mengenai bidang TVET yang berupaya melestarikan peluang pekerjaan demi meningkatkan taraf hidup masyarakat.

“Inilah jihad KPLB sebagai sebuah kementerian yang memperjuangkan pembangunan dan kesejahteraan luar bandar secara menyeluruh,” katanya.

Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KPLB 2022 yang berlangsung selama tiga hari bermula Khamis lalu menerima kunjungan lebih 300,000 pengunjung dalam tempoh tiga hari, melebihi sasaran awal iaitu hanya sekitar 100,000 pengunjung.

Penganjurannya melibatkan penyertaan dan kerjasama 280 Institusi Pendidikan TVET@KPLB di bawah tujuh agensi utama KPLB antaranya Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI