fbpx

Gadis Kampus: Reynuga raih banyak anugerah tarian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Reynuga aktif sebagai seorang penari tarian tradisional dan moden masyarakat India di universiti.

KEMATANGAN dimiliki oleh gadis berusia 26 tahun itu melayakkannya dipilih sebagai Pembantu Pengurus Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah atau Kolej Kedua, Universiti Malaya (UM).

Sebagai pelajar Ijazah Sarjana Kejuruteraan Bioperubatan, Reynuga Thirumalairajan mampu memberi komitmen dan perkhidmatan terbaik apabila dipertanggungjawab menjawat jawatan berkenaan.

Tugasnya adalah menguruskan hal pentadbiran kolej, selain membantu menguruskan pelbagai projek yang dianjurkan para mahasiswa di kolej kediaman tersebut.

Gadis berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu memaklumkan, sudah tiba masanya dia berbakti kepada kolej yang pernah didiaminya selama tiga tahun sewaktu pengajian ijazah sarjana muda sebelum ini.

“Ini kali kedua saya menginap di Kolej Kedua. Ia dapat mengimbau kembali memori indah saya tinggal di sini selepas hampir tiga tahun meninggalkan kolej kediaman ini. Saya tidak dibayar elaun pun menjawat jawatan ini, cuma keistimewaan bilik sendiri saja.

“Tujuan utama saya menjadi pembantu pengurus adalah untuk berbakti kembali kepada kolej kediaman ini. Sewaktu temu duga, kebetulan panel penemu bual kenal saya sebagai seorang yang aktif, ia satu kelebihan kepada saya,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Selain bergelar pembantu pengurus, anak bongsu daripada tiga beradik itu terlibat aktif sebagai pemberi motivasi kepada mahasiswa sama ada di peringkat kolej atau universiti.

Menurut Reynuga, dia banyak menerima jemputan bagi memberikan motivasi berkaitan pengurusan, kepimpinan dan pentadbiran organasisi.

“Ketika ini saya ada banyak masa terluang di kolej. Justeru, saya memanfaatkannya dengan memenuhi undangan sebagai pakar motivasi kepada pelajar.

“Saya banyak berkongsi ilmu mengenai pengetahuan dan pengalaman sewaktu saya bertugas dalam sebuah syarikat kejuruteraan sebelum ini,” ujar gadis petah berbahasa Melayu itu.

Pada masa sama, Reynuga juga aktif sebagai seorang penari tarian tradisional dan moden masyarakat India sepanjang pengajiannya di universiti.

REYNUGA akan melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD bagi mencapai cita-citanya sebagai seorang pensyarah.

Jelasnya, dia merupakan anggota sebuah kumpulan penari yang aktif berlatih, selain menyertai pelbagai pertandingan anjuran kolej kediaman, universiti, pihak swasta mahupun organisasi bukan kerajaan.

Malah, kumpulan disertainya itu pernah memenangi beberapa pertandingan peringkat UM, selain muncul juara acara tarian anjuran sebuah stesen Tamil tempatan, Raga FM.

Antara anugerah lain yang pernah diraihnya adalah Anugerah Individu Terbaik Keseniaan 2016 dan Anugerah Terbaik Kesenian (Kumpulan) 2017 ketika Festival Seni UM.

“Sejak kecil lagi saya minat menari, namun tidak berkesempatan berbuat demikian. Selepas masuk ke UM, saya berpeluang mengembangkan minat menari dengan menyertai sebuah kumpulan.

“Kini, saya sudah memperlahankan penglibatan sebagai seorang penari. Sebaliknya, saya lebih memberi perhatian kepada pengurusan kumpulan tarian sahaja,” jelasnya lagi.

Mengulas mengenai masa depannya, Reynuga memaklumkan, dia berhasrat untuk bergelar pensyarah kejuruteraan selepas menamatkan pengajiannya kelak.

Reynuga memaklumkan, dia lebih selesa menjadi seorang pendidik anak bangsa daripada bekerja sebagai jurutera bioperubatan kerana kerjaya tersebut tidak kena dengan jiwanya.

“Selepas habis ijazah sarjana muda sebelum ini, saya pernah bekerja sebagai jurutera.

“Selepas setahun bekerja, saya rasa kerjaya berkenaan tidak kena diri.

“Saya lebih gemar dengan kerjaya yang membina dan tidak suka melakukan aktiviti sama pada setiap masa.

“Jadi, saya akan berusaha mendapatkan PhD (Ijazah Kedoktoran) pula selepas ini bagi merealisasikan cita-cita sebagai seorang pensyarah,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN