fbpx

Duda maut jatuh tingkat 4, dicekup berkhalwat dengan isteri orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

JASIN – Gara-gara ingin melarikan diri selepas dicekup berkhalwat dengan isteri orang, seorang lelaki ditemui maut selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah pangsapuri di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.47 pagi, si mati yang merupakan seorang duda berusia 46 tahun itu, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, saksi iaitu kekasih kepada si mati yang merupakan ibu anak tiga berusia 37 tahun mendakwa lelaki itu datang ke rumahnya pada pukul 12 tengah malam semalam selepas suaminya keluar dan dia mahu bermalam di situ.

Katanya, pada pukul 10.30 pagi semasa pasangan itu berada di ruang tamu, tiba-tiba suami saksi pulang ke rumah dan menyedari kehadiran si mati.

“Suami saksi telah mengunci pintu gerigi hadapan rumah menyebabkan pasangan itu terperangkap dan dia telah menghubungi pihak polis.

“Saksi meminta si mati berunding dengan suaminya, namun lelaki itu nekad melarikan diri dengan mengikat seutas dawai ampaian di besi palang di bahagian koridor untuk berpaut turun,” katanya dalam satu kenyataan akbar dikeluarkan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, saksi yang berada di ruang tamu hanya melihat si mati dari jauh sebelum terdengar bunyi dentuman di luar koridor.

“Saksi melihat ke bawah dan mendapati lelaki tersebut telah tertiarap di atas tanah dan tidak bergerak.

“Pemeriksaan fizikal dilakukan ke atas mayat si mati mendapati terdapat kesan tanah dan darah di bahagian muka dipercayai terjatuh dalam keadaan tersembam, lengan kiri mangsa juga patah,” katanya.

Ujarnya lagi, saksi memberitahu mereka telah berkenalan pada 2005, namun berpisah dan masing-masing telah mendirikan rumah tangga.

Tambahnya, pada 2017 si mati telah bercerai dengan isterinya, lalu mencari semula saksi untuk menjalinkan semula hubungan walaupun mengetahui bahawa saksi telah berkahwin.

“Hubungan simati dengan saksi adalah secara sembunyi tanpa pengetahuan suami saksi,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN