fbpx
SEORANG wanita Jepun menerima vaksin Covid-19 di Kobe, wilayah Hyogo pada 21 Jun 2021. - AFP

Vaksin Covid selamatkan 20 juta nyawa pada 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS – Vaksin Covid-19 mencegah hampir 20 juta kematian pada tahun pertama pelaksanaan kempen pelalian koronavirus, demikian menurut satu kajian besar-besaran yang disiarkan semalam.

Diterbitkan dalam jurnal The Lancet Infectious Diseases, kajian itu adalah berdasarkan data terkumpul dari 185 buah negara dan wilayah antara 8 Disember 2020 hingga 8 Disember 2021.

Ia merupakan cubaan pertama untuk menganggarkan bilangan kematian yang boleh dicegah secara langsung atau tidak langsung menerusi kempen vaksinasi Covid-19.

Menurutnya, sebanyak 19.8 juta kematian telah dicegah daripada potensi 31.4 juta korban yang diramalkan berlaku tanpa vaksin koronavirus atau bersamaan pengurangan sebanyak 63 peratus.

Kajian itu menggunakan ang­ka rasmi untuk kematian akibat Covid-19 atau anggaran sekiranya angka rasmi tiada.

China dikecualikan kerana jumlah populasinya yang begitu besar dan pelaksanaan sekatan ketat boleh menjejaskan ketepatan keputusan kajian.

Kajian sama mendapati bahawa bilangan kematian terbesar yang dapat dicegah, adalah dari negara-negara berpendapatan tinggi dan sederhana berjumlah 12.2 juta kematian daripada ang­ka 19.8 juta sekali gus memba­yangkan ketidaksamaan agihan vaksin global.

Hampir 600,000 kematian lagi akan dapat dicegah sekiranya sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memvaksinasi 40 peratus daripada populasi setiap negara di dunia menjelang akhir 2021 dapat dicapai. 

“Jutaan nyawa telah diselamatkan dengan menjadikan vaksin dapat diperoleh kepada penduduk di seluruh dunia. Kita boleh melakukan lebih baik lagi,” kata penulis utama kajian itu, Oliver Watson dari Kolej Imperial London.

Covid-19 secara rasmi membunuh lebih 6.3 juta orang di seluruh dunia, demikian menurut WHO. – AFP 

POPULAR