PERKENALAN antara Shima dan Azhar (bukan nama sebenar) bermula sewaktu masing-masing melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Utara tanah air.
Ia membawa kepada bibit-bibit cinta sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga sekitar 2017 selepas masing-masing memasuki alam pekerjaan.
Untuk makluman, Shima bekerja sebagai pegawai tinggi kerajaan, manakala Azhar berkhidmat sebagai eksekutif di sebuah syarikat telekomunikasi.
Hasil perkongsian hidup, pasangan yang menetap di Shah Alam, Selangor itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, kini berusia lima tahun.
“Saya berkahwin dengan Azhar sebab dia datang daripada keluarga agak senang.
“Malah, dia seorang yang baik dan bertanggungjawab,” ujar Shima kepada Kosmo! baru-baru ini.
Bahtera perkahwinan Shima dan Azhar berjalan sempurna sehinggalah pandemik Covid-19 melanda dunia dan negara sekitar awal 2020 lalu.
Disebabkan itu, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian virus tersebut dalam kalangan masyarakat.
Pelaksanaan PKP yang agak lama menyebabkan Azhar diberhentikan kerja memandangkan ekonomi tidak berjalan seperti normal ketika itu.
“Azhar memang tiada masalah dengan hal kerja. Dia memang bekerja kuat untuk keluarga. Tetapi disebabkan PKP, dia diberhentikan selepas mendapat notis sebulan.
“Tambah malang, dia hanya dibayar pampasan selama sebulan gaji oleh bekas majikannya. Mujurlah, ketika itu kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja),” ceritanya.
Menurut Shima yang berusia pertengahan 30-an, Azhar ada memohon kerja baharu di sekitar ibu negara, namun tiada sebarang jawapan diterima akibat banyak syarikat masih terjejas akibat pandemik.
Katanya, suaminya menghabiskan masa di rumah dengan menjaga anak tunggal mereka dan Shima keluar bekerja setiap hari.

AZHAR tidak bersungguh-sungguh mencari kerja baharu dan hanya menghabiskan masa di rumah dengan bermain permainan di telefon. – GAMBAR HIASAN
“Setiap hari tugas Azhar duduk rumah jaga anak. Kalau taska buka, dia tolong hantar dan ambil anak. Dia banyak habis masa menonton
televisyen dan bermain permainan di telefon.
“Saya ada suruh dia kerja sebagai penghantaran makanan atau memulakan perniagaan, tetapi Azhar beri bermacam-macam alasan,” ujarnya.
Justeru, segala perbelanjaan termasuk komitmen bulanan seperti kereta, sewa rumah dan bil utiliti serta makanan harian ditanggung sepenuhnya oleh Shima.
Menurut wanita bertubuh langsing itu, dia tidak kisah untuk menghabiskan pendapatan bulanannya untuk perbelanjaan keluarga buat sementara waktu sebelum suaminya kembali bekerja.
“Saya seorang yang bertolak ansur. Namun, saya lihat sikap Azhar seperti tidak bersungguh-sungguh untuk mencari pekerjaan.
“Dia juga tiada inisiatif untuk membuat kerja sementara sebelum mendapat mencari pekerjaan tetap,” ujarnya.
Selepas ekonomi negara kembali dibuka awal tahun ini, Shima sangat berharap suaminya dapat kembali bekerja di tempat baharu, namun harapannya tidak kesampaian.
Shima memaklumkan, Azhar seperti acuh tidak acuh untuk mencari pekerjaan lain, sebaliknya dia seperti sudah selesa duduk di rumah dengan segala perbelanjaan ditanggung olehnya seperti yang berlaku selama ini.
Perkara berkenaan berlarutan agak lama sebelum akhirnya, Shima mengambil keputusan mengadu hal tersebut kepada mahkamah syariah, sekali gus mengambil keputusan bercerai secara fasakh.
Fasakh adalah melepaskan ikatan perkahwinan suami dengan isteri melalui kuasa yang ada pada hakim dan kadi atas sebab-sebab dan alasan yang dibenarkan oleh syarak.
“Dengan bukti yang dikemukakan, permohonan fasakh saya telah diterima oleh hakim.
“Sewaktu perbicaraan, hakim memaklumkan ketua keluarga atau suami perlu mencari nafkah untuk isteri dan keluarga.
“Justeru, dia menyarankan supaya Azhar segera mencari kerja. Saya berasa lega selepas bercerai kerana tidak perlu lagi menanggung seorang suami yang malas,” katanya.















