fbpx

Guan Eng terima RM200,000 dalam sampul di pejabatnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guan Eng.

KUALA LUMPUR – Seorang kontraktor memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, beliau memberikan wang tunai berjumlah RM200,000 kepada Lim Guan Eng sekitar 2013 dan 2014 bertujuan mengotakan janji selepas syarikatnya diberikan projek pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang.

Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli memberitahu, wang itu sebahagian daripada rasuah yang diminta oleh Guan Eng melibatkan nilai 10 peratus daripada hasil keuntungan bersih yang diperoleh syarikatnya kerana mengendalikan projek itu yang dianggarkan bernilai RM6.3 bilion.

Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) itu berkata, walaupun bekas Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut tidak meminta wang tunai daripadanya, beliau cuba menunaikan janji selepas syarikatnya diberikan projek itu.

Menurut Zarul Ahmad, 62, dalam pertemuan pada Ogos 2013, beliau menyerahkan wang tunai RM100,000 dalam sampul bersaiz A4 kepada Guan Eng selepas satu perbincangan di tingkat 28, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

“Saya tidak beritahu berapa banyak wang yang diserahkan dan hanya menyatakan ‘this is for u Sir’. Beliau mengambilnya dan saya beredar. Beliau cuma tersenyum ketika menerima sampul itu,” ujarnya.

Zarul Ahmad menjelaskan, ketika wang itu diberikan, perjanjian awal telah ditandatangani dan wang itu yang bersumber daripada CZBUCG disifatkan sebagai pemberian penting.

Kontraktor itu turut menyatakan, sebanyak RM100,000 lagi yang merupakan wang milik syarikatnya Vista Lestari Development Sdn. Bhd. diberikan kepada Guan Eng dalam pertemuan di pejabatnya di Komtar sekitar Januari 2014 menjelang sambutan Tahun Baru Cina.

“YB Guan Eng tidak bertanya kandungan sampul tersebut dan juga tidak menolaknya. YB kelihatan gembira menerimanya,” ujar saksi itu ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan terhadap Ahli Parlimen Bagan itu.

Saksi pendakwaan ke-23 itu menyatakan, wang tersebut diperoleh daripada sebilangan pelabur terdiri daripada ahli perniagaan berjaya dan beliau menyimpannya dalam bentuk tunai untuk diberikan kepada Guan Eng.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI