fbpx
ANAK perlu didedahkan kepada aktiviti berfaedah bagi membantu mereka untuk lebih berkomunikasi dengan orang lain. – GAMBAR HIASAN

Anak pendiam rupanya ada masalah speech delay

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Sikap anak yang sering mendiamkan diri selain terlalu dibiasakan dengan permainan gajet boleh memberi kesan negatif selain menjejaskan proses pertuturan anak-anak di peringkat awal.

Seorang bapa dikenali sebagai Muaz, 40, berkata, sikap anaknya yang menjadi pendiam sebenarnya memberi petanda kanak-kanak itu mengalami gejala lambat bertutur.

Kata lelaki itu, anaknya yang kini berusia tiga tahun masih belum boleh bercakap se­perti kanak-kanak lain gara-gara speech delay yang lambat dikesan.

“Anak saya lahir pada tahun 2019, semasa usianya setahun, negara dilanda Covid-19. Dari situ, anak saya memang tidak berjumpa dengan kanak-kanak lain, sebaliknya hanya bermain bersama abangnya di rumah.

“Disebabkan bimbang anak akan bosan, kami sepakat membelikan mereka tablet. Dari situ, anak mula belajar menonton vi­deo di YouTube,” katanya.

Bagaimanapun, kata Muaz, anak keduanya itu dilihat semakin tidak boleh berenggang dengan gajet sehingga tidak lagi bermain bersama abangnya dan berubah menjadi pendiam.

“Pada awalnya, kami rasa anak kami senang dijaga. Sebab dia tidak buat bising, hanya melihat video sahaja, tetapi isteri rasa tidak selesa apabila ada yang menegur sikap anak yang langsung tidak mahu berkomunikasi.

“Sehinggalah seorang rakan mencadangkan kami untuk membuat carian ‘Google’ mengenai gejala speech delay dan dari situ kami nampak anak meme­nuhi kriteria gejala itu. Agak terkejut bila doktor sendiri sahkan anak memang ada masalah itu,” katanya.

Muaz berkata, apa yang boleh dilakukan kini ialah mengikuti sesi terapi di hospital selain berkomunikasi secara aktif dengan anaknya.

“Dahulu tidak dinafikan saya sendiri kerap bermain telefon pintar ketika bersama anak. Sekarang, kami cuba buat aktiviti yang memerlukan kami berkomunikasi,” katanya.

Berita berkaitan: 10 peratus kanak-kanak alami masalah speech delay

Sementara itu, seorang suri rumah, Ariesha Nurain Bukhari, 29, berkata, dia mula mengesan anaknya mempunyai masalah pertuturan semasa usia anak sulungnya setahun enam bulan.

“Saya mula kesan anak mungkin ada masalah lambat bercakap apabila merujuk buku perkembangan kanak-kanak yang dibekalkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Berdasarkan carta perkembangan kanak-kanak yang disarankan, sewaktu di usia itu anak saya sepatutnya sudah boleh menyebut tiga hingga lima perkataan yang mempunyai makna. Tetapi, anak saya tidak mencapai tahap itu,” katanya.

Peka dengan keadaan anaknya itu, dia bertindak memaklumkan kebimbangan tersebut kepada doktor sebelum anaknya dirujuk kepada pakar.

“Doktor ada maklumkan, gejala lambat bertutur ini boleh terjadi kerana banyak faktor. Antaranya ialah pemberian gajet seawal usia bawah 2 tahun, kurang berkomunikasi, masalah kesihatan yang dihadapi oleh anak-anak dan juga keturunan.

“Bagaimanapun, apa yang penting ibu bapa tidak boleh bersikap menafikan. Sekiranya anak menunjukkan gejala, perlu rujuk terus kepada pakar kesihatan supaya tindakan awal boleh diambil,” ujarnya.

Kosmo! semalam melaporkan, dianggarkan 10 peratus daripada 400,000 kanak-kanak di Malaysia yang berusia empat tahun ke bawah mengalami masalah kelewatan pertuturan atau speech delay sehingga membataskan komunikasi bersama ibu bapa.

POPULAR