fbpx

Pengantin baharu maut jatuh dari ‘buggy’ golf semasa bulan madu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasangan pengantin yang baru 10 hari berkahwin itu sedang berbulan madu di Pulau Hamilton semasa insiden kereta buggy berlaku. - Perth Now

SYDNEY – Seorang pengantin baharu menemui ajal selepas terjatuh dari kenderaan ‘buggy’ yang digunakan pemain golf semasa percutian bulan madunya, lapor laman Newsweek, semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Maria Morgan baru sahaja melangsungkan perkahwinan dengan suami, Robbie Morgan, 10 hari sebelum insiden tersebut.

Robbie menyewa ‘buggy’ untuk bersiar-siar di sekitar pusat peranginan, Pulau Hamilton sebelum kenderaan tersebut terbalik ketika lelaki itu cuba membuat pusingan-u.

Dia tidak mengalami sebarang kecederaan, namun Maria dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian meskipun diberi bantuan pernafasan oleh pasukan paramedik.

Wakil Polis Queensland, Inspekator Anthony Cowan menyifatkan kematian itu sebagai kemalangan jalan raya dan tiada tanda-tanda pemanduan berbahaya atau memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Ia adalah satu kemalangan tragis melibatkan kenderaan sukan golf.

“Mungkin terdapat faktor kurang pengalaman untuk memandu jenis kenderaan itu. Semasa membelok, pemandu gagal mengawal ‘buggy’ lantas mangsa terjatuh lalu mengalami kecederaan di kepala yang mengancam nyawa,” kata Cowan.

Pemangku Pengarah Perkhidmatan Ambulans Queensland, Graeme McIntyre berkata, Maria mengalami serangan jantung akibat kemalangan tersebut dan tidak bertindak balas terhadap bantuan pernafasan mulut ke mulut yang dilakukan selama 35 minit.

Pihak pengurusan Pulau Hamilton mengesahkan tragedi itu dalam satu kenyataan.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa yang terlibat dalam insiden tragis ini.

“‘Buggy’ golf sepatutnya dikendalikan mengikut peraturan dan keperluan Queensland Road di Pulau Hamilton.

“Keutamaan tertinggi kami ialah keselamatan dan kesejahteraan tetamu, penduduk. Kakitangan kami bekerjasama rapat dengan Polis Queensland untuk menyiasat kejadian itu,” tulis kenyataan itu.

Pihak pengurusan turut mendedahkan bahawa Maria tidak memakai tali pinggang keledar ketika kemalangan itu berlaku. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI