PETALING JAYA – “Pernah terdetik dalam hati, tidak lama lagi akan mati.” Itu dilalui seorang bekas penghidap kanser limfoma hodgkin atau kanser darah limfoma tahap empat.
Adib Haikal Atan, 24, berkata, dalam fikirannya ketika didiagnos dengan penyakit itu adalah tentang kematian disebabkan stigma masyarakat yang mengaitkan penyakit itu dengan perkara tersebut.
Menurutnya, dia disahkan menghidap kanser berkenaan ketika sedang menyambung pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi dua tahun lalu.
“Dalam fikiran saya, aku akan mati ke? Sebagai orang biasa, kita memang sinonim kanser dengan kematian. Saya cakap pada diri sendiri, Insya-Allah, kalau masih ada rezeki di dunia, apa-apa pun jadi, aku akan terus hidup’,” ujarnya.
Tambahnya, bapanya merupakan individu pertama yang mengetahui tentang penyakit dihadapinya.
“Tanda-tanda sebelum disahkan kanser, berat badan saya turun mendadak. Saya kerap demam dan badan makin lemah. Berat saya turun daripada 58 kilogram (kg) ke 45 kg,” ujarnya.
Bercerita lanjut Adib berkata, selepas hampir setahun menjalani kemoterapi, tahap kesihatannya semakin baik dan dia hanya perlu menjalani rawatan susulan secara asas untuk memastikan tiada lagi kanser yang aktif.
“Sudah hampir setahun sejak saya menjalani rawatan kemoterapi terakhir saya. Kesihatan saya sudah pulih seperti dahulu. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan saya disahkan bebas kanser oleh doktor pada Julai, tahun lalu.
“Sekarang saya yakin dengan ketentuan Allah SWT jika masih ada rezeki kita di dunia, selagi itu kita akan masih kekal melangkah,” katanya.
Seorang lagi bekas pesakit kanser dikenali Tasya, 36, berkata, dia disahkan menghidap kanser epithelioid sarcoma, sejenis kanser tisu tumor ganas yang jarang berlaku di bahagian ari-ari di bawah perut pada 2022.
“Sewaktu saya dapat tahu saya ada kanser, saya jadi terkedu, tidak percaya dan hanya mampu diam. Dalam hati terdetik yang tidak lama lagi akan mati. Tetapi suami sangat positif, dia sentiasa menasihat saya,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Tasya berkata, pada 2022 dia disahkan menghidap kanser tahap 1A dan menjalani pembedahan membuang tumor, namun tidak meneruskan rawatan susulan sebelum kanser datang semula setahun kemudian pada tahap 1B.
Menurutnya, keputusan tidak meneruskan rawatan selepas pembedahan pertama dibuat kerana salah faham terhadap rawatan kanser.
“Ketika itu saya sangka rawatan kanser menyakitkan dan penyebab ramai mati. Jadi saya pun tidak mahu buat rawatan dan sangka saya boleh terus sembuh dengan buang tumor.
“Selepas pembedahan kedua, barulah saya benar-benar ikut nasihat doktor untuk jalani rawatan sepenuhnya,” katanya.
Bercerita lanjut, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dia menjalani 30 sesi radioterapi berdos tinggi yang memberi kesan terhadap tubuhnya termasuk keradangan kulit tahap dua, kesakitan melampau dan komplikasi dalaman.
Sementara itu, bagi pereka grafik bebas, Hanin Rafhanah Norizan, 27, kanser datang pada saat paling tidak disangka iaitu ketika sambutan hari lahir yang ke-25 sejurus pulang berbulan madu pada Februari 2024.
“Saya terima panggilan hospital pada hari lahir saya. Mereka beritahu keputusan biopsi saya positif kanser. Saya didiagnos kanser payudara HER2 triple-positif peringkat dua.
“Biasanya lepas kahwin, inai di jari terima berita kehamilan. Saya pula buat kemoterapi,” katanya.
Hanin yang juga pembuat kek berkata, rawatan pertama menyebabkannya alami keguguran rambut teruk selain berat badan susut sehingga 10kg serta perlu menjalani enam sesi kemoterapi dan 16 kali terapi bersasar.
“Saya pernah kena sepsis dan ditahan di hospital selepas rawatan keempat. Banyak kali rasa nak berputus asa sepanjang 2024 hingga 2025, terutama selepas pembedahan mastektomi.
“Saya perlu makan ubat hormon setiap tiga bulan. Saya sakit belakang badan dan tidak datang haid sejak Jun 2024. Doktor kata saya tidak boleh mengandung selama lima tahun,” ujarnya.
Selain menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, dia turut menjalankan pembedahan mastektomi di Hospital Kuala Lumpur dan tahap kesihatannya semakin pulih selepas pembedahan dan mengamalkan diet lebih sihat termasuk mengurangkan minuman bergula, daging merah dan tofu.
















