fbpx

Tekad Pak Tam penjual buah mengubah kehidupan kepada pemborong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Roslan menunjukkan tanda bagus di hadapan restoran baharunya di Tikam Batu, Sungai Petani baru-baru ini.

SUNGAI PETANI – Keinginan dan tekad yang kuat untuk me­ngubah kehidupan mem­­bo­lehkan anak jati Tikam Batu dekat sini, Roslan Abdul Razak, 52, membangunkan sebuah sya­rikat pemborong buah-buahan selain restoran makanan berasaskan pulut di sini.

Roslan atau lebih dikenali dengan nama Pak Tam, sudah didedahkan dengan selok-belok perniagaan sejak kecil lagi oleh bapanya, Abdul Razak Md. Zain, 74, dan juga datuk beliau.

“Bapa saya merupakan peniaga ikan, manakala datuk pula berniaga buah-buahan dengan memajak pokok di kampung.

“Saya sering mengikut mereka berniaga dan timbul keinginan untuk turut sama terlibat dalam bidang perniagaan ini,” katanya ketika ditemui di pusat pengumpulan buah dan Restoran Milla Hana Pulut Kedah di Tikam Batu dekat sini baru-baru ini.

Beliau yang pernah menjual buah potong menggunakan basikal di kampung seawal umur 10 tahun itu terlibat secara serius dalam perniagaan bermula usia 17 tahun seterusnya melangkah ke fasa lebih serius dengan membuka syarikat pemborong buah-buahan, Milla Enterprise.

“Pada usia 17 tahun, saya mula berniaga tetapi ketika itu, saya tiada wang untuk dijadikan modal perniagaan sehingga memaksa saya meminjam wang daripada bapa, ibu dan nenek.

“Berbekalkan modal kira-kira RM300, saya mula membeli buah-buahan selain turut membeli kereta terpakai.

“Sebagai peniaga yang baharu, saya mula membeli bahan mentah untuk jualan mengikut bajet yang ada,” ujarnya.

Tambah beliau, hari menda­tang, perniagaannya semakin ber­kembang dan dalam masa yang sama terus menimba pelbagai ilmu pengurusan perniagaan selain perlu mengupah beberapa pekerja untuk melicinkan lagi operasi.

Syarikat juga mampu untuk membeli kenderaan lain bagi urusan pemborongan dan memasarkan buah-buahan terma­suk durian dari Thailand (durian Siam).

“Perniagaan semakin maju dengan permintaan daripada pelanggan terus bertambah sehinggakan saya pernah suatu ketika mengupah sehingga 60 pekerja untuk menjual buah-buahan di beberapa lokasi pasar malam.

“Gerai jualan pula terdapat di merata tempat di seluruh Kedah sehingga ke Changlun,” katanya.
Roslan menerangkan, setelah berjaya dalam bidang pemborongan, beliau mula merangka strategi baharu me­langkah ke bidang makanan dan minuman (F&B) melalui pembukaan sebuah restoran yang menjual pelbagai menu termasuk juadah popular pulut durian dan cendol pulut durian.

Restoran yang dikenali sebagai Milla Hana Pulut Kedah terletak di Tikam Batu itu baru bero­perasi pada awal bulan ini.

“Bagi mereka yang tidak berkemampuan membeli durian popular seperti musang king, mereka boleh mencuba makan durian pulut dan cendol pulut musang king masing-masing pada harga RM15 hingga RM24 sepinggan di restoran ini,” ujarnya.

Tambah beliau, bagi mereka yang tidak gemar makan durian, menu pulut atau cendol itu boleh dimakan bersama mangga dan nangka.

Lebih menarik, terdapat menu cempedak goreng yang turut menjadi perhatian para pengunjung restoran berkenaan.

Menurut Roslan, syarikat bercadang untuk satu lagi cawangan restoran Milla Hana di Bandar Amanjaya di sini dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, mengulas me­ngenai permintaan pelanggan pada musim durian tahun ini, beliau memaklumkan permintaannya sangat tinggi pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Saya mengeluarkan modal kira-kira RM400,000 untuk memborong durian tempatan dan durian Siam sepanjang 10 hari musim perayaan itu,” katanya.

Tambahnya, syarikat telah memborong durian musang king dan duri hitam dari Balik Pulau, Pulau Pinang untuk dihantar ke Kuala Lumpur dan Johor mengikut permintaan pelanggan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

RSS Error: A feed could not be found at `https://www.relevan.com.my/feed`. This does not appear to be a valid RSS or Atom feed.