JOHOR BAHRU – Pasangan raja sehari yang melangsungkan pernikahan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersyukur kerana mereka kini menjalani kehidupan dengan tenang tanpa dibelenggu hutang perkahwinan.
Menurut Nur Amirah Mohd. Razlee, 23, dia bernikah dengan pasangannya, Mohamad Muslim Abd. Rashid, 24, pada 28 Januari lalu.
Katanya, dia dan suami hanya berhabis kira-kira RM2,000 untuk majlis ijab kabul yang diadakan di Masjid Jamek Kota Tinggi dekat sini sewaktu negara masih berada dalam fasa pandemik Covid-19.
“Alhamdulillah kami dapat berjimat dan membelanjakan kira-kira RM2,000 memandangkan tiada kenduri besar-besaran, sebaliknya hanya jemputan terdiri daripada ahli keluarga terdekat.
“Semua persiapan kami lakukan sendiri bermula daripada pakaian untuk nikah yang dibeli sendiri,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Cerita wanita itu, dia dan pasangannya merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan pada November 2020, namun ditangguhkan disebabkan pelaksanaan PKP.
“Selepas lima kali ditangguhkan, akad nikah akhirnya ditetapkan pada 28 Januari lalu,” katanya.
Berita berkaitan: Hantaran RM40,000, graduan tangguh niat mahu kahwin
Kini pasangan tersebut meniti saat bahagia menjalani kehidupan suami isteri termasuk bakal menyambut anak sulung pada November ini tanpa dibebani dengan hutang kahwin.
Situasi sama turut dirasai Farahwahida Ahmad, 35, apabila majlis perkahwinannya pada Ogos tahun lalu diadakan secara ringkas berikutan negara masih lagi berdepan pandemik Covid-19.
“Sebenarnya kami sudah lama merancang untuk bernikah, namun PKP pula. Sekurang-kurangnya dapat berjimat, jika diikutkan kos mungkin melebihi RM20,000.
“Kami sudah membayar deposit untuk pelamin, baju nikah serta dewan tetapi terpaksa batalkan. Kami cuma berhabis kira-kira RM7,000 dan kesemuanya dibayar secara tunai,” katanya.
Sementara itu, di Maran, Pahang, Zurianiey Siang, 22, memberitahu, PKP membuka ruang buat dia dan pasangannya meraikan hari bersejarah mereka pada November tahun lalu secara ringkas dan hanya mengeluarkan belanja kira-kira RM2,800.
Zurianiey berkata, dia hanya mengenakan satu persalinan dan mengadakan kenduri doa selamat untuk saudara-mara terdekat, manakala majlis pernikahan diadakan di Pejabat Agama Islam Jengka.
“Saya menggunakan kelebihan sebagai jurusolek untuk menata rias wajah sendiri pada hari bahagia tersebut, manakala pelaminnya juga ringkas.
“Alhamdulilah semuanya berlangsung dengan selamat dan dipermudahkan. Pada saya itu adalah kelebihan ketika berkahwin pada musim PKP kerana tiada yang mempersoalkan tentang majlis yang ringkas kerana semua faham dengan situasi ketika itu,” katanya.














