fbpx
Wang hantaran tinggi menyebabkan banyak pasangan muda terpaksa menangguhkan hasrat untuk mendirikan rumah tangga. – GAMBAR HIASAN

Hantaran RM40,000, graduan tangguh niat mahu kahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kos perkahwinan yang semakin tinggi sehingga puluhan ribu ringgit telah menyebabkan ada pasangan kekasih terutamanya golongan muda terpaksa menangguhkan hasrat untuk menempuh gerbang perkahwinan pada usia muda.

Seorang graduan universiti yang ingin dikenali sebagai Azam, 24, berkata, impiannya untuk melayari bahtera perkahwinan bersama kekasih hati hampir musnah gara-gara hantaran yang diletakkan keluarga pihak pe­rempuan mencecah RM40,000.

Katanya, dia hanya mampu tertunduk dan membisu selepas nilai puluhan ribu ringgit itu dimaklumkan ketika keluarganya datang merisik tunangnya.

“Dunia saya terasa gelap-gelita kerana tidak menyangka hantaran kahwin akan mencapai jumlah sebegitu tinggi. Saya tidak mampu untuk berkata apa-apa kerana begitu tergamam dengan nilai hantaran itu.

“Saya baru sahaja menamatkan pengajian di salah sebuah universiti tempatan di utara tanah air dan masih lagi mencari pekerjaan tetap,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Azam memberitahu, jika telah bekerja sekali pun, dia mungkin tidak akan mampu untuk me­ngumpul dan menyimpan wang sebanyak RM40,000 dalam tempoh tiga atau empat tahun.

Katanya, dia yang juga baru menamatkan latihan industri kini terpaksa mengikat perut untuk meneruskan kehidupan.

“Tunang saya juga lepasan universiti dan masih mencari pekerjaan di sekitar ibu negara. Dia pun tidak mungkin boleh membantu saya untuk mengumpul wang dengan segera,” ujarnya.

Kenaikan kos sara hidup menyebabkan perbelanjaan untuk perkahwinan meningkat mendadak. – Gambar Hiasan

Menurut Azam, tunangnya ada memaklumkan, jumlah hantaran RM40,000 itu adalah hasil perbincangan dengan ibunya, manakala bapanya pula tidak masuk campur dan membiarkannya menentukan sendiri.

Katanya, menurut ibu tunangnya, belanja perkahwinan itu akan digunakan untuk majlis bagi pihak perempuan termasuk pembelian barangan hantaran, set pakaian, katering dan sebagainya.

“Saya juga ada bertanya kepada tunang bagaimana sekiranya saya tidak mampu mengumpul wang sebegitu banyak dan dia memberitahu boleh membayar hantaran separuh dahulu, manakala bakinya diselesaikan selepas berkahwin.

“Kalau ikutkan hati, memang saya tidak mampu untuk meneruskan ikatan ini, namun disebabkan sayang dan begitu kasih, saya akan cuba gagahkan juga,” ujarnya.

Sementara itu, seorang wa­nita yang ingin dikenali sebagai Ayu, 25, pula berkata, dia mele­takkan nilai hantaran yang tinggi sehingga RM30,000 kepada bakal suaminya kerana pelbagai
faktor.

Ayu memberitahu, antaranya disebabkan kos melangsungkan perkahwinan yang semakin mahal ketika ini seperti sewa dewan yang mencecah puluhan ribu ringgit, set pakaian, katering dan lain-lain.

“Rata-rata rakan wanita saya yang mahu melangsungkan perkahwinan juga meletakkan jumlah antara RM15,000 hingga RM40,000 kepada bakal suami mereka dan saya merasakan jumlah itu adalah relevan pada masa ini.

“Bagaimanapun, saya juga tidaklah terlalu mendesak bakal suami untuk menjelaskan semua jumlah tersebut sebelum berkahwin.

“Bagi saya, sekiranya dia be­tul-betul mahukan saya, dia akan bersungguh-sungguh mengumpul duit bagi membuktikan cintanya terhadap saya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN