fbpx
Tengku Zafrul.

Tempoh pengecualian cukai jualan kenderaan tamat 30 Jun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Kerajaan mengumumkan pengekalan tarikh akhir bagi pengecua­lian cukai jualan kenderaan penumpang pada 30 Jun ini.

Pada masa sama, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tempoh pendaftaran kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi pembeli yang membuat tempahan kenderaan sehingga 30 Jun 2022 dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023.

Jelasnya, langkah tersebut bertujuan membolehkan pe­langgan yang telah membuat tempahan kenderaan sepanjang tempoh pengecualian cukai dapat terus menikmati insentif yang disediakan kerajaan.

“Bagi mengekal dan me­ningkatkan momentum permintaan dan jualan kenderaan penumpang yang terjejas akibat pandemik, kerajaan telah memperkenalkan pengecua­lian sepenuhnya cukai jualan ke atas kenderaan penumpang pemasangan tempatan dan 50 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang import sejak 15 Jun 2020 dan akan berakhir pada 30 Jun 2022.

“Setakat ini, sebanyak 868,422 unit kenderaan telah terjual dan rakyat telah mendapat manfaat pengecualian cukai jualan berjumlah RM4.7 bilion.

“Pada masa sama, seluruh dunia sedang menghadapi masalah kekurangan cip mikro semikonduktor merentasi beberapa industri termasuk industri automotif.

“Berikutan permasalahan ini, sebanyak 264,000 unit kenderaan yang ditempah dalam tempoh pengecualian ini masih belum siap pemasangan dan tidak dapat dibekalkan kepada pembeli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul menambah, lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan merupakan satu penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu dipertingkatkan semula pasca pandemik bagi memastikan kebajikan rakyat dan kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara. -KOSMO! ONLINE

POPULAR