fbpx

Gadis Kampus: Nur Syamimi Syasya nampak pemalu sebenarnya lasak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sejak kecil lagi, gadis ini sudah menanam impian dalam diri untuk berjaya dalam apa juga bidang yang diceburi bagi membanggakan kedua-dua ibu bapa.

MESKIPUN masih lagi menuntut di tahun tiga pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Industri Statistik) di Universiti Utara Malaysia (UUM), namun isu pengangguran yang berlaku dalam kalangan graduan begitu menggusarkan Nur Syamimi Syasya Suhaimi, 23.

Katanya, apa yang dirisaukan adalah kebarangkalian untuk dirinya berhadapan dengan isu sama juga tinggi.

“Pandemik Covid-19 menjejaskan ekonomi, sekali gus memberi kesan terhadap isu pengangguran, yang mana peluang pekerjaan baharu semakin berkurangan dan gaji yang ditawarkan pula tidak setimpal.

“Pada zaman ini, graduan terpaksa melakukan pekerjaan yang tidak sama dengan aliran pengajian.

“Mereka juga berdepan masalah under employment iaitu berkelulusan ijazah, tetapi bekerja dengan tangga gaji diploma atau sijil,” luahnya.

Kata anak kelahiran Pulau Pinang ini lagi, sebagai mahasiswa, sudah semestinya dia mengharapkan untuk meraih kerjaya yang sealiran dengan jurusan yang diambil di menara gading.

Manakan tidak, usai penat lelah menimba ilmu selama beberapa tahun, Nur Syamimi Syasya mahu mempraktikkan apa yang dipelajarinya itu dalam dunia pekerjaan sebenar.

“Cita-cita saya ingin bekerja dalam bidang yang dipelajari sekarang. Saya mahu menjadi penganalisis data kerana jurusan inilah yang saya pelajari dari program Diploma hingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

“Minat mendalam berkaitan subjek Sains dan Matematik menyebabkan saya mengambil jurusan ini.

“Saya sedar sebahagian besar kerjaya atau bidang pekerjaan sekarang dan pada masa akan datang memerlukan pengetahuan Matematik yang mantap.

“Saya percaya, dengan adanya ijazah dalam jurusan Sains ini, saya mempunyai peluang cerah untuk diambil bekerja di mana-mana syarikat suatu hari nanti, seterusnya menjadikannya sebagai kerjaya menarik,” kongsinya.

Biarpun begitu, kata anak ketiga daripada lima beradik ini, melihatkan situasi tersebut, dia kini sudah bersedia memikirkan solusi dan membuat pekerjaan sampingan yang bersesuaian.

Ini katanya, seperti menjadi pencipta kandungan di laman sosial, model mahupun sebagai dropship produk tertentu.

Bukan sahaja mementingkan pelajaran, gadis ini menjaga penampilannya.

“Dari kecil lagi saya sudah menanam impian dalam diri untuk berjaya dalam apa juga bidang yang diceburi bagi membanggakan kedua-dua ibu bapa saya.

“Bagi saya, kegembiraan mereka paling menjadi keutamaan dalam hidup. Justeru, bagi mencapai impian itu, saya perlu belajar bersungguh-sungguh dan tidak mengalah biarpun seberat mana ujian yang menimpa,” katanya.

Dalam pada itu, kata Nur Syamimi Syasya, dia bercita-cita ingin menyambung pengajian di peringkat tertinggi iaitu doktor falsafah (PhD) kerana terinspirasi dengan ilmu yang dimilki oleh pensyarahnya.

Katanya, dia teruja apabila dapat mengetahui atau mendalami banyak perkara sama ada dalam mahupun luar bidang yang dipelajari.

“Saya suka menimba ilmu sebanyak mungkin kerana ilmu itu jambatan hidup.

“Saya sentiasa pecaya, jika seseorang itu tidak mahu mempelajari tentang sesuatu ilmu, mereka pasti akan jauh ketinggalan,” tambahnya.

Berperwatakan ayu, pemalu, gemar bersolek dan dilihat sering berpakaian cantik, dirinya tidak terlepas daripada dilabel sebagai gadis yang kurang lasak.

Pun begitu, Nur Syamimi Syasya sebenarnya amat menggemari aktiviti lasak dan sering melibatkan diri dalam terjunan bungee, flying fox, pemanduan go kart dan water rafting.

Gadis itu juga dilihat sering tampil ke hadapan untuk berucap di khalayak umum.

“Walaupun saya seorang yang pemalu, tetapi berani berucap di khalayak ramai. Di universiti, saya banyak melibatkan diri sebagai juruacara dalam program anjuran beberapa kelab di UUM.

“Saya juga pernah menjadi juruacara di majlis perkahwinan kakak sendiri, selain diberi peluang untuk menjadi salah seorang jurucakap bagi satu saluran YouTube yang berkongsikan ilmu bagi memperkasa dan memberi inspirasi kepada wanita di luar sana,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI