fbpx

Andai ditakdirkan kita hidup 100 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Candida Uderzo

Membaca berita seorang nenek di Itali yang berusia 100 tahun memperbaharui lesen memandu baru-baru ini membuatkan penulis tersenyum. Bukan tersenyum kerana dicuit rasa lucu tetapi dek mengenangkan betapa benarnya kata pujangga, semalam adalah histori, hari ini adalah realiti dan esok adalah misteri.

Kata Candida Uderzo, 100, dia suka hidup berdikari dan tidak mahu menyusahkan sesiapa. Penglihatannya pun masih baik tanpa perlu pakai cermin mata. Hebat.

Masa depan bagai teka teki dan setiap orang mempunyai takdir hidupnya sendiri. Ada orang meninggal dunia semasa masih bayi, ada pula yang kita dengar dijemput ajal semalam atau hari ini. Ramai orang menjangka diri mereka sudah tiada pada tempoh 100 tahun. Andai capai usia seabad itu mungkin sudah terlalu uzur atau ‘serupa mati’, tapi ada pula orang yang berumur 100 tahun masih sihat walafiat. Siapa sangka?

Golongan yang mencapai usia 100 tahun diistilahkan sebagai centeranian. Golongan segelintir ini mewakili cuma 0.004 peratus daripada 7.8 bilion manusia di dunia. Majoriti manusia hidup hanya sekitar 70 tahun.

Ketika ramai anggap usia lanjut itu berpunca daripada amalan kesihatan seperti mengambil pemakanan sihat dan miliki ikatan perhubungan yang baik, ia sebenarnya masih menjadi misteri saintis.

Misalnya, pasangan Ron Bond, 102, dan Joyce Bond, 100, dari United Kingdom menyifatkan perkahwinan mereka menjadi rahsia usia panjang mereka, tetapi Louise Signore, 107, dari New York dan Jessie Gallan, 109 dari Scotland pula percaya rahsia panjang usia mereka kerana langsung tidak pernah berkahwin.

Baru-baru ini, Insider melaporkan bahawa rahsia sebenar untuk hidup sehingga 100 tahun ialah konsisten dalam melakukan sesuatu rutin sepanjang hayat. Bunyinya macam istilah ‘istiqamah’ yang lazim kita dengarlah.

Menariknya, dapatan dikemukakan oleh bekas doktor perubatan kecemasan, Dr. Angel Iscovich itu meliputi apa sahaja rutin termasuklah suatu yang tidak menyihatkan seperti makan pencuci mulut atau snek setiap malam.

Menurutnya, rata-rata centeranian kekal mengamalkan rutin mereka sehingga menjadi tabiat dengan ada yang memastikan makan semangkuk aiskrim setiap malam seperti diakui Virginia Davis, 108.

Ini ada persamaan dengan aktiviti sesetengah orang tua yang sentiasa sibukkan diri bekerja, konsisten dalam beribadah dan sebagainya.

Lucia DeClerk, 105, yang pulih daripada Covid-19 menyatakan ‘sembahyang, sembahyang dan sembahyang’ sebagai rahsia usia lanjut. Mary Zorichak, 101, memberitahu Guardian, dia memastikan kedua-dua fizikal dan mindanya sentiasa sibuk, manakala Marnie, 101, pula menjawab silang kata pada surat khabar setiap hari.

Cuma penulis tertanya-tanya juga, andai ditakdirkan kita hidup pada usia 100 tahun apakah di hati ini benar-benar rasa bertuah dan bahagia atau rasa sangsi yang berkelana mengapa ketika majoriti sahabat sebaya telah dijemput bertemuNya, Tuhan masih enggan menjemput kita?

Apapun soal usia itu di tangan Tuhan. Jika sudah tiba detik ajal, ia tetap tiba biar apapun yang kita usahakan. Sebagai Muslim, diharapkan jika dikurniakan umur sebegitu panjang, biarlah kita tenang meniti hari-hari di ‘hujung senja’ dan kekal dalam ketaatan kepada Sang Pencipta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI