fbpx
PETUGAS kesihatan Pejabat Bas Troli Ryonmot melakukan kerja-kerja membasmi kuman di Pyongyang pada 9 Jun lalu. - AFP

Korea Utara dilanda wabak penyakit usus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PYONGYANG – Pemerintah Korea Utara mengumumkan bahawa negara berkenaan berdepan wabak penyakit usus tanpa diketahui puncanya sekali gus me­ningkatkan lagi tekanan selepas penularan koronavirus, lapor Badan Penyiaran Britain(BBC) kelmarin.

Pemimpin tertinggi, Kim Jong-un telah mengarahkan supaya langkah kuarantin dilaksanakan, lapor agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA.

Menurut KCNA, Jong-un menghantar bekalan ubat ke bandar Haeju pada Rabu lalu untuk membantu pesakit yang menderita ‘wabak pencernaan akut’.

Dalam pada itu, pakar-pakar kesihatan mengesyaki wabak penyakit itu berkemungkinan tifoid (demam kepialu) atau taun.

Korea Utara mengisytiharkan darurat pada Mei lalu selepas melaporkan berjuta-juta penduduknya mengalami ‘demam’ yang dipercayai akibat penularan Covid-19.

Tiada laporan dikeluarkan mengenai bilangan penduduk yang terjejas akibat wabak penyakit baharu itu atau butiran lanjut mengenainya. Bagaimanapun, penyakit tersebut dikaitkan dengan saluran pencernaan.

“Jong-un menekankan ke­perluan membendung wabak ini sepantas mungkin dengan mengambil langkah mengkua­rantin pesakit yang disyaki bagi mengekang penyebarannya,” lapor KCNA.

Seorang pegawai Kementerian Penyatuan Korea Selatan yang mengendalikan hal ehwal antara dua Korea memberitahu agensi berita Reuters bahawa Pyongyang mengesyaki wabak berkenaan sebagai kolera atau demam kepialu.

Kwanghae yang terletak di selatan Korea Utara dan me­nempatkan bandar Haeju adalah wilayah pertanian utama Korea Utara. Penularan penyakit usus di Kwanghae boleh memburukkan lagi krisis kekurangan makanan yang meluas di negara komunis itu.

Pemerintah mendedahkan angka kematian yang dikaitkan dengan wabak itu adalah seramai 73 orang tetapi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan beberapa pihak lain berkata, mereka bimbang keadaan sebenar adalah lebih buruk. – Agensi

POPULAR