SELEPAS mendapat maklumat berhubung penganjuran sebuah festival berkonsepkan Islamik, Farid Ab. Talib, 35, begitu teruja untuk turut menghadirinya.
Apa tidaknya, selama dua tahun ‘terkurung’ akibat penularan wabak pandemik Covid-19 yang menidakkan sebarang penganjuran acara atau program pada 2020 hingga 2021, dia kini bagai dahagakan aktiviti yang mampu mengembalikan semua kehidupan normalnya seperti sebelum ini.
“Saya memang seorang yang suka menghadiri banyak program dan festival kerana di situlah saya dapat meluangkan masa bersama isteri dan anak-anak.
“Disebabkan sudah dua tahun tiada penganjuran sebarang program seperti itu, jadi saya ambil keputusan untuk hadir ke festival ini bagi merasai kembali keseronokannya,” katanya yang tinggal di Taman Tun Dr. Ismail, Petaling Jaya, Selangor.
Dia temui semasa berkunjung bersama keluarganya ke festival Garden of Eid 2022 yang berlangsung di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur pada 27 hingga 29 Mei lalu.
Menurut Mohd. Hanafi, disebabkan terdapat banyak program menarik yang disediakan penganjur sepanjang tiga hari penganjurannya, dia telah menghabiskan banyak masa untuk berkunjung ke dua lokasi berasingan bagi menikmati dan menghayati pengisian yang disediakan.
“Secara jujurnya, saya sangat berpuas hati kerana bukan sahaja ia menghiburkan saya dan isteri, tetapi program ini juga sesuai untuk kanak-kanak kerana terdapat banyak acara yang disediakan buat mereka.
“Saya berharap program seumpama ini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang bagi memartabatkan Islam dalam program berbentuk hiburan dan pendidikan,” ujarnya.

ORANG ramai turut berpeluang mendirikan solat secara berjemaah di kawasan padang berhampiran lokasi utama festival.
Sementara itu, pengasas bersama festival tersebut, Safia Hanifah berkata, festival Garden of Eid berkenaan diilhamkan bersempena terjemahan aksara Garden yang membawa maksud taman yang digambarkan dalam al Quran sebagai jannah atau syurga.
Festival itu juga katanya, dianjurkan sebagai acara bagi meraikan dua perayaan terbesar umat Islam iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.
“Dua tahun lalu, rakyat Malaysia merayakan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha dalam suasana suram disebabkan pandemik.
“Justeru, tahun ini bagi merayakan hari kemenangan sekali gus merapatkan siraturahim, kami terpanggil untuk menganjurkan festival Garden Of Eid ini.
“Ia bertujuan bagi membawakan sebuah festival yang membawakan suntikan keislaman, selain bagi merapatkan ukhuwah sesama Muslim dalam sebuah program berkonsepkan taman,” katanya.
Menurut Safia, sebagai sebuah program bertemakan keislaman dan kekeluargaan, ia menepati konsep festival yang melestarikan kerohanian dan agama, namun disampaikan dalam perayaan yang lebih santai dan mesra.
Malah ujarnya, festival yang bersifat Islamik namun santai itu turut menampilkan pendekatan termasuk hiburan yang sesuai syariah, sekali gus memberi pendidikan bermanfaat buat semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak.

“Sepanjang penganjuran festival berkenaan, selebriti tanah air seperti Raihan, Faizal Tahir, Datuk Jamal Abdillah, Naim Daniel dan Altimet yang bertindak selaku hos turut muncul membuat persembahan kerohanian.
“Selain penghibur tanah air, kami turut membawakan vokalis dan pengasas kumpulan Dewa-19, Ahmad Dhani untuk turut serta menghiburkan pengunjung pada malam penutup festival itu menerusi slot ‘Malam Munajat Cinta’ di Panggung Anniversari,” katanya.
Tidak ketinggalan katanya, sebuah sesi perkongsian motivasi dan bual bicara santai tentang kemanusian serta pendidikan Islam turut diselitkan dengan kolaborasi bersama aplikasi Islamik, Qalby.
Malah program bual bicara bersama Syria Care turut menjadi perkongsian berguna untuk pengunjung.
Ia bagi meningkatkan keinsafan, malah bersyukur kerana dapat hidup dan tinggal di Malaysia yang aman damai.
Sebagai aktiviti selingan, pengunjung turut menikmati pelbagai jenis hidangan dan juadah menerusi aktiviti makan-makan bertemakan Flavors of Malaysia yang disaji dan dijual oleh pengendali trak makanan.














