Adakah disunatkan menadah tangan semasa berdoa ketika khutbah kedua solat Jumaat?
Jawapan:
Memang pada asalnya disunatkan mengangkat (menadah) tangan ketika berdoa kepada Allah SWT melainkan pada tempat yang Nabi SAW tidak mengangkatnya. Ini kerana, di sana terdapat terlalu banyak hadis yang menunjukkan Nabi SAW mengangkat tangan dan menyuruh mengangkat tangan semasa berdoa kepada Allah.
Bagaimanapun, di sana ada tempat-tempat yang tidak mengangkat tangan semasa doa. Ini seperti doa ketika sujud, doa ketika antara dua sujud, ketika tawaf, sa’i dan seumpamanya yang Nabi SAW tidak mengangkatnya.
Adapun semasa doa khutbah Jumaat, pendapat yang rajih (yang kuat) tidak diangkat tangan kerana berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim, Abu Daud dan mereka yang menunjukkan hal itu tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW. Ini kerana, ketika sahabat Nabi ‘Umarah bin Ruwaibah al-Thaqafi melihat gabenor Bani Umayyah Bisyr bin Marwan bin al-Hakam mengangkat tangan di atas mimbar (semasa khutbah), beliau pun berkata:
“Allah menghodohkan kedua tangan itu. Sesungguhnya aku melihat Rasulullah SAW (semasa khutbah) baginda tidak lebih dari mengisyaratkan dengan tangannya begini iaitu mengisyaratkan dengan jari telunjuknya”.
Kata Al-Imam Al-Baihaqi dalam Al-Sunan Al-Kubra: “Kemudian dalam hadis ini menunjukkan antara sunnah itu ialah baginda tidak mengangkat kedua-dua tangannya semasa berdoa dalam khutbah, memadai sekadar mengisyaratkan dengan jarinya sahaja. Telah sabit (pasti) daripada (riwayat) Anas bin Malik daripada Nabi SAW bahawa baginda mengangkat tangannya dan berdoa ketika meminta hujan sewaktu khutbah Jumaat.”
Maka, berdasarkan hadis ini dan selainnya, Mazhab Malik, Mazhab Syafii dan ramai tokoh sarjana fikah yang lain berpendapat tidak diangkat tangan semasa doa dalam khutbah. Hanya diangkat tangan semasa doa dalam khutbah jika berlaku keperluan istisqa iaitu memohon hujan seperti yang pernah Nabi SAW lakukan. Ia bukan kebiasaan dalam khutbah Jumaat baginda, sebaliknya hanya berlaku apabila ada keperluan. Kata Al-Imam Al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim:
“Pada hadis ini (hadis ‘Umarah bin Ruwaibah) menunjukkan sunnah untuk tidak mengangkat tangan (semasa doa) ketika khutbah. Inilah pendapat Malik (bin Anas) dan tokoh-tokoh mazhab kita (Mazhab Syafii) dan selain mereka. Al-Qadi ‘Iyad menukilkan daripada sebahagian ulama salaf dan sebahagian ulama Mazhab Malik yang membolehkannya (mengangkat tangan semasa doa dalam khutbah) kerana Nabi SAW mengangkat tangan ketika khutbah Jumaat semasa meminta hujan. Golongan ulama awal (yang melarang) menjawab, mengangkat tangan tersebut (semasa minta hujan) adalah disebabkan peristiwa yang terjadi”.
Bahkan Al-Imam Al-Syaukani dalam Nail al-Autor menyebut pendapat beliau yang menyatakan mengangkat tangan semasa doa khutbah adalah bid’ah.
Kesimpulannya, majoriti ulama berpendapat tidak diangkat tangan semasa doa dalam khutbah melainkan jika untuk memohon hujan. Mereka menganggap perbuatan angkat tangan itu sebagai makruh, dan ada yang lebih tegas daripada itu. Kalangan ulama menyatakan makmum sama dengan khatib dalam hal ini.














