fbpx

Teruja dapat tunai haji bersama suami, dua adik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAIHANA (dua dari kiri) bersama suami, Muhammad Firdauz (dua dari kanan) serta dua adiknya iaitu Muhammad Faris (kanan) dan Farah Hanis (kiri) sebelum berangkat ke Tanah Suci semalam.

SEPANG – Tiada siapa menjangka bahawa penantian selama dua tahun akhirnya membawa perkhabaran gembira buat tiga beradik apabila kesemua mereka dapat menunaikan ibadah haji bersama-sama tahun ini.

Raihana Salehan, 35, berkata, lebih teruja apabila dia bukan sahaja ‘ditemani’ dua adiknya, Muhammad Faris Salehan, 24, dan Farah Anis Salehan, 33, malah suaminya, Muhammad Firdauz Abdul Rashid, 35, turut dipanggil menunaikan ibadah itu.

“Saya tidak jangka kami tiga beradik ‘dipanggil’ ke Tanah Suci bersama-sama selepas perancangan untuk ke sana sebelum ini terpaksa ditangguhkan akibat penularan Covid-19.

“Pada penghujung 2019 kami telah terpilih untuk ke Mekah, namun hasrat itu terpaksa ditangguhkan apabila Arab Saudi menutup pintu sempadannya akibat Covid-19.

“Pada 25 April lalu kami me­nerima panggilan memaklumkan telah terpilih sekali lagi dan tambah menggembirakan apabila adik-adik saya iaitu Muhammad Faris dan Farah Anis turut dapat pergi bersama,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Bakal Jemaah Haji Malaysia di Hotel dan Pusat Konvensyen Movenpick di sini semalam.

Turut memeriahkan majlis adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang hadir meluangkan masa menyantuni dan mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah haji.

ISMAIL SABRI beramah mesra dengan sebahagian jemaah haji pada Majlis Pelepasan Kumpulan Pertama Jemaah Haji di Pusat Konvensyen Movenpick KLIA, Sepang semalam. – FAISOL MUSTAFA

Katanya, dia tambah bersyu­kur apabila permohonan suaminya, Muhammad Firdauz Abdul Rashid, 35, sebagai jemaah mahram turut diluluskan sekali gus dapat menunaikan ibadah haji bersama-sama mereka.

“Perasaan agak bercampur-baur apabila dimaklumkan dapat menunaikan haji tahun ini. Gembira kerana terpilih, namun dalam masa yang sama turut berasa sedih apabila terpaksa me­ninggalkan anak kecil berusia lima bulan,” katanya.

Bagi sepasang suami isteri, Abdullah Aminurrasyid Abdullah, 32, dan Marlia Ahmad Marzuki, 31, pula mengucapkan kesyukuran apabila terpilih untuk menunaikan ibadah haji.

“Seperti kita sedia maklum, ramai yang membuat rayuan untuk ke Mekah lebih-lebih lagi apabila kuota jemaah haji berkurangan daripada sebelum ini, jadi kami sangat bersyukur.

“Isteri saya terpilih untuk menunaikan haji, jadi saya telah membuat permohonan sebagai jemaah mahram dan Alhamdulillah ia diluluskan,” katanya.

Katanya, walaupun persiapan dilakukan dalam tempoh singkat, mereka bersyukur segalanya berjalan lancar dari peringkat pendaftaran sehingga keberangkatan ke lapangan terbang.

Sementara itu, perasaan te­ruja dan gembira jelas dapat dilihat pada wajah Nur Alia Qistina Mohd. Zahiruddin, 17, yang terharu apabila dapat menunaikan ibadah haji pada usia muda dan ketika masih lagi bersekolah.

Tambah menggembirakan ada­lah apabila remaja tersebut berpeluang mengerjakan rukun Islam kelima itu bersama ibu bapanya dalam penerbangan sama.

“Memang saya rasa amat gembira dan bersyukur apatah lagi apabila dapat pergi ditemani ibu bapa,” katanya.

Bapanya, Mohd. Zahiruddin Abd. Wahid, 42, yang bekerja di sektor swasta dan ibunya, Nur Syaffina Abd. Rahim, 41, penjawat awam di Putrajaya turut meluahkan perasaan yang sama.

Dalam nada ceria, tiga beranak tersebut yang giliran haji mereka sepatutnya pada 2020 lalu mendoakan agar segala urusan di Tanah Suci dipermudahkan dan memperoleh haji mabrur.

Sebanyak 48 pe­nerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines akan membawa jemaah haji Malaysia seramai 14,306 orang ke Tanah Suci pada tahun ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI