PETALING JAYA – Wanita yang mudah termakan pujuk rayu, janji-janji manis dan kemaruk untuk mencari jodoh didapati sering menjadi mangsa penipuan dalam aplikasi carian jodoh.
Pengurus Agensi Cari Jodoh, Zainudin Mohd. Jaafar berkata, kebanyakan penipuan berlaku atas kesilapan mangsa sendiri yang terlalu mempercayai pasangan yang baru dikenali.
Katanya, sejak awal tahun sehingga kini, terdapat tiga kes mangsa telah dianiaya atau ditipu individu tertentu yang dikenali melalui agensinya.
“Lebih parah apabila setiap tahun pasti terdapat kes-kes penipuan membabitkan pasangan yang ingin mencari jodoh.
“Pihak kami sememangnya akan memberi amaran kepada semua individu yang mencari jodoh melalui agensi supaya tidak memberi maklumat peribadi secara terperinci agar tidak disalah guna oleh individu tertentu.
“Bagaimanapun, kadangkala, mereka ini telah mendedahkan lebih lanjut mengenai latar belakang diri ketika bertemu di luar,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Zainudin memberitahu, kebanyakan kes yang berlaku adalah di luar kawalannya setelah kedua-dua pasangan bertemu dan berkenalan dengan mendalam tanpa memikirkan risiko sekiranya ditipu oleh salah seorang daripada mereka.
Katanya, kebanyakan yang ditipu mahupun yang menipu adalah berusia dalam lingkungan 30 hingga 40-an.
“Saya tidak nafikan, setiap tahun memang ada kes seperti ini timbul, baik lelaki atau perempuan. Ada yang menjadi penjamin, beri pinjaman duit dan kemudian hilang serta macam-macam lagi bentuk penipuan.
“Justeru itu, pihak kami telah mengambil pelbagai langkah proaktif dengan menyebarkan muka si penipu, senarai hitam nama mereka, malah membuat laporan polis jika melibatkan jenayah-jenayah berat,” ujarnya.
Sementara itu, Pengasas myJodoh, Mohd. Azrul Alwi berkata, kebanyakan mangsa ditipu selepas memberi maklumat peribadi secara terpeinci tanpa pengetahuan pihaknya.
“Kebiasaannya, mereka mudah memberi info peribadi kepada orang yang mereka suka biarpun baru dikenali, ini semua berlaku memang di luar pengetahuan pihak kami.
“Dalam laman web myJodoh sendiri, memang akan sentiasa dipantau rapi 24 jam, malah selagi mereka tidak capai keserasian, selagi itu sebarang maklumat atau nombor telefon mahupun akaun media sosial tidak akan diberi kepada calon yang dipilih,” ujarnya.
Jelasnya, pihak myJodoh akan memberi amaran dan meletakkan pengguna sebagai senarai kelabu jika akaun pendaftaran agak meragukan serta sentiasa memaklumkan kepada pengguna lain untuk menjaga diri dan lebih berhati-hati dengan orang yang tidak dikenali. -KOSMO! ONLINE














