fbpx

Jualan Proton meningkat disokong pemulihan bekalan komponen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Model Saga 2022

PETALING JAYA – Jenama kereta nasional, Proton mencatatkan jualan sebanyak 9,792 unit (tempatan dan eksport) bagi bulan Mei lalu setelah berjaya mengatasi isu bekalan komponen.

Ia merupakan peningkatan sebanyak 10.8 peratus berbanding dengan April 2022 dan pertumbuhan 3.7 peratus tahun ke tahun.

Dalam pasaran automotif secara keseluruhan, Proton mengekalkan kedudukan kedua dengan anggaran pegangan pasaran semasa sebanyak 19.6 peratus, manakala jumlah pegangan pasaran tahunan dianggarkan pada 17.1 peratus.

Proton dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, model X50 terus menguasai pasaran kenderaan utiliti sports (SUV) dengan jualan 2,779 unit Mei lalu, membolehkannya menyandang kedudukan pertama bagi segmen SUV secara keseluruhan.

“Dua lagi model Proton yang kekal di tempat pertama dalam segmen masing-masing adalah Proton X70 dan Proton Exora, masing-masing dengan jualan sebanyak 692 unit dan 387 unit.

“Model terlaris syarikat, Proton Saga mencapai jualan 3,996 unit pada bulan Mei, menempatkannya di tangga kedua bagi sedan segmen A.

“Ini pencapaian yang baik memandangkan syarikat perlu menguruskan peralihan model dari versi lama ke versi Proton Saga 2022 yang dilancarkan pada 12 Mei lalu. Permintaan pasaran amat menggalakkan dengan lebih 12,000 tempahan diterima,” katanya.

Roslan Abdullah

Sementara itu, menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah, peningkatan jualan  pada bulan Mei adalah disebabkan syarikat telah menaikkan jumlah pengeluaran untuk mengejar permintaan pasaran.

“Sama seperti semua jenama lain dalam industri automotif, kami masih berusaha untuk mendapatkan bekalan komponen supaya boleh memenuhi tempahan yang tertunggak.

“Proton amat menghargai kesabaran pelanggan yang tetap memberi sokongan kepada kami,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI