PETALING JAYA – Menjaga dan membesarkan seorang anak yang berstatus orang kelainan upaya (OKU) memberi cabaran buat golongan ibu bapa.
Seperti kisah dikongsikan seorang pengguna media sosial, Zuera, dia meluahkan rasa kecewa apabila anaknya yang mempunyai masalah tantrum didakwa telah dimarahi oleh bapa seorang murid dari kelas lain.
Kejadian tersebut berlaku apabila anaknya dikatakan berebut botol air dengan murid tersebut sehingga berlaku kekacauan antara mereka menyebabkan bapa murid berkenaan berang.
“Kesnya bapa murid kelas lain datang serang dan marah anak saya di sekolah, dia tuduh anak saya cekik anak dia sebab berebut botol air.
“Anak saya kata tak buat, tapi dia masih marah, saya pun ditengkingnya sambil naik tangan macam nak tampar saya,” katanya menerusi hantaran di media sosial semalam.
Jelasnya, anaknya meraung di sekolah sehingga terpaksa ditenangkan gurunya sebelum dia sampai ke sekolah selepas dihubungi.
Tambah Zuera, dia terkilan kerana hanya masalah seorang murid sekolah yang masih kecil, seorang bapa sanggup bertindak kasar kepada anaknya.
“Sabar anakku, orang tak tahu awak OKU, ibu mana tak sedih tengok anak menangis macam ini,” luahnya.
Dalam pada itu, Zuera turut memaklumkan bahawa perkara tersebut telah diselesaikan secara damai dan pihak isteri kepada lelaki berkenaan tampil memohon maaf kepadanya.
“Peringatan untuk diri saya juga, segala hal boleh bincang elok-elok, jaga emosi dan adab terutama di sekolah, di depan anak-anak dan budak-budak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE