PETALING JAYA – Biarpun harga lembu korban mencecah antara RM5,000 hingga RM7,000 seekor, namun ia tidak menjejaskan permintaan terhadap haiwan ternakan berkenaan sempena Hari Raya Aidiladha bulan depan.
Kenaikan harga itu dikatakan tidak menjadi penghalang malah rata-ratanya bersedia untuk mengeluarkan belanja lebih sehingga RM1,000 satu bahagian.
Bagi mereka, semuanya kerana mahu melunaskan hajat yang tertangguh sejak dua tahun lalu.
Di Muar, seorang warga emas, Noriah Kassim, 65, memberitahu, dia dan keluarga telah lama merancang untuk melaksanakan ibadah korban dan kenaikan harga tidak menghalang mereka untuk meneruskan niat itu.
“Keputusan ini (laksana korban) merupakan perbincangan bersama anak dan menantu saya. Kami dah sepakat nak buat korban dua ekor lembu melibatkan 14 orang termasuk suami dan lima anak serta menantu.
“Anak-anak bercadang mahu membuat korban sebab mereka nak manfaatkan kesempatan masa yang ada memandangkan mereka semua belum menyempurnakan ibadah itu,” katanya kepada Kosmo! di sini.
Menurutnya, kenaikan harga lembu telah dimaklumkan beberapa bulan lalu, namun keluarga Noriah sepakat untuk meneruskan hasrat berkenaan.
“Mak Cik tahu naik harga dalam RM500 hingga RM1,000 bagi seekor lembu, tapi kami buat jugalah sebab kalau tangguh, tahun akan datang makin naik harga lagi.
“Kalau tak buat rasa rugi jadi kami teruskan juga sementara ada masa dan umur,” luahnya.

Berkongsi pandangan sama di Jerantut, seorang penduduk Felda Tekam Utara, Anuar Rahman, 59, berkata, dia dan rakan-rakannya sanggup membayar dengan harga yang tinggi walaupun mencecah lebih RM1,000 satu bahagian.
“Penduduk yang tidak berkesempatan mengadakan majlis korban sejak dua tahun lalu berikutan pandemik Covid-19 sanggup berbelanja lebih untuk mengisi slot korban termasuk akikah pada kali ini.
“Kali ini satu bahagian korban boleh mencecah lebih RM500 dan di sesetengah tempat penduduk sanggup berbelanja hingga RM1,000 susulan permintaan yang tinggi menyebabkan kenaikan harga ternakan,” ujarnya.
Menurutnya meskipun kebiasaan harga minimum satu bahagian lembu sekitar RM400, namun dia menjangkakan kenaikan pada saat-saat akhir menjelang Aidiladha.
Malah katanya, harga berkenaan boleh berubah apabila lembu terpaksa dibeli daripada penternak luar.

Sementara itu di Kuala Nerus, rata-rata penternak ditemui memberitahu, permintaan terhadap lembu korban dijangka terus meningkat menjelang akhir bulan depan.
Salah seorang penternak, Mohd. Saiful Hafiz Alias, 42, berkata, setakat ini, dia telah menerima tempahan sebanyak 120 ekor lembu bagi ibadah korban sejak bulan lalu.
Menurutnya, berdasarkan trend semasa ini, dia menjangkakan dapat menjual 200 ekor lembu korban musim ini.
Katanya, kebanyakan tempahan untuk lembu korban diterima daripada pengurusan masjid dan orang perseorangan dari seluruh Terengganu.
“Peningkatan tersebut didorong faktor negara yang kini berada pada fasa peralihan ke endemik. Dua tahun lepas, banyak kekangan, namun ini prosedur operasi standard (SOP) ibadah korban dijangka dilonggarkan.
“Bagaimanapun katanya, kenaikan ini disebabkan penternak ambil kesempatan tetapi memang harga lembu korban terpaksa dinaikkan tahun ini atas pelbagai faktor,” katanya ketika ditemui di kandang lembunya di Kampung Tok Jiring di sini baru-baru ini.














