DALAM dunia ini, terdapat macam-macam godaan terutamanya buat golongan wanita termasuk dijanjikan kehidupan mewah yang sememangnya mereka dambakan selama ini.
Kalau lemah iman, pasti terjerat tidak kira status sama ada anak dara, janda ataupun isteri orang.
Itu yang berlaku kepada seorang wanita yang merupakan isteri orang yang sanggup berpisah dengan suami gara-gara merebut cinta lelaki kaya bergelar Datuk.
Matanya sudah digelapkan dengan kemewahan harta benda hingga lupa akan janji sebelum mendirikan rumah tangga.
Kesudahannya, dia sanggup menjadi isteri kedua VIP tersebut.
————————————————————————————————————————————————————————
SUDAH menjadi lumrah bagi kebanyakan wanita, kekayaan dan jawatan dimiliki lelaki mampu menggelapkan mata, terutamanya kepada golongan yang mendambakan kemewahan hidup.
Disebabkan faktor tersebut juga, Ahmad (bukan nama sebenar) terpaksa berpisah dengan isterinya, Hanim (bukan nama sebenar) selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga.
Sepanjang perkahwinan, pasangan yang menetap di Shah Alam, Selangor itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang baru menjengah usia setahun.
“Saya dan Hanim ini telah kenal lama sejak di institusi pengajian tinggi lagi. Selepas tambat belajar, kami sepakat untuk mendirikan rumah tangga.
“Tetapi tidak sampai tiga tahun hidup bersama, hubungan kami musnah disebabkan kehadiran orang ketiga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Ahmad, dia tidak menyangka Hanim sanggup menduakannya semata-mata demi merasai kesenangan hidup serta limpahan harta ditawarkan oleh seorang lelaki berada.
Katanya, segalanya berpunca daripada perkenalan isterinya yang merupakan seorang eksekutif jualan hartanah dengan seorang lelaki berpengaruh (VIP).
“Saya difahamkan, VIP itu dikenali sebagai Datuk M berusia hampir 60 tahun. Dia berkenalan dengan Hanim semasa proses pembelian sebuah rumah agam di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
“Saya tidak tahu pula perkenalan antara mereka membawa kepada bibit cinta sehingga menyebabkan hubungan kami menjadi dingin,” jelas lelaki yang bekerja sebagai pegawai kerajaan itu.
Untuk makluman, Hanim merupakan seorang wanita moden yang memiliki wajah cantik dan sosok tubuh menawan. Pakej lengkap dimiliki Hanim itu mampu membuatkan mana-mana lelaki pasti tertarik padanya.
Jelas Ahmad, sepanjang perkenalan Hanim dengan Datuk M, dia dapat melihat perubahan ketara pada isterinya daripada aspek penampilan serta perubahan waktu bertugas.
Ceritanya, Hamin sering menerima jambangan bunga di pejabat serta hadiah berupa barangan mewah daripada beg tangan sehinggalah kepada telefon pintar.
“Saya ada perasan barang-barang mewah digunakan Hanim seperti beg tangan Louis Vuitton bernilai puluhan ribu ringgit. Dia beritahu saya, ia hadiah daripada seseorang.
“Saya tidak bertanya banyak kerana mungkin ada orang yang bermurah hati memberikan hadiah itu. Dia juga sering balik lewat malam atas alasan ingin berjumpa pelanggan,” ujarnya.

DISEBABKAN terlalu obses dengan hadiah kereta mewah daripada seorang lelaki bergelar Datuk, Hanim sanggup mengambil keputusan untuk bercerai dengan suaminya. – GAMBAR HIASAN
Situasi tersebut berterusan selama berapa bulan, sehinggalah suatu hari Hanim memberitahu, ada seorang VIP ingin memberi sebuah kereta mewah.
Disebabkan itu, Ahmad meminta Hanim menolak tawaran hadiah berkenaan kerana ia terlalu besar dan mewah, namun permintaan tersebut ditolak mentah-mentah oleh isterinya.
Katanya, Hanim memang sudah lama mengimpikan kereta jenis Mercedes-AMG Hatchback yang ditawarkan oleh Datuk M sehingga membuat sukar menolaknya.
“Saya sedar, Hanim memang sudah lama sukakan kereta itu. Namun, duit gaji saya tidak mampu untuk menghadiahkan Hanim kereta mewah berkenaan.
“Disebabkan keengganan Hanim, saya membuat lafaz cerai taklik.
“Sekiranya dia menerima pemberian kereta mewah itu, maka jatuh talak satu,” ujarnya.
Maksud cerai taklik ialah lafaz cerai dikaitkan dengan suatu janji yang telah dibuat oleh suami selepas akad nikah disempurnakan mengikut hukum syarak dan peruntukan undang-undang.
Ujar Ahmad, selang beberapa hari, dia mendapati Hanim memandu pulang kereta idamannya itu ke rumah, sekali gus menandakan perpisahan antara mereka.
“Saya tidak sangka, Hanim sanggup meninggalkan saya disebabkan tawaran mewah kebendaan.
“Jadi, saya terpaksa keluar sebelum membuat pengesahan perceraian di mahkamah syariah.
“Sewaktu perbicaraan, hakim telah memberi hak penjagaan anak kepada saya. Saya tidak menyalahkan Hanim kerana perpisahan tersebut kerana menganggapnya sebagai takdir,” katanya.
Selepas hampir dua tahun berpisah, Ahmad memaklumkan, dia mendapat tahu Hani telah mendirikan rumah tangga dengan Datuk M sebagai isteri kedua di selatan Thailand.














