fbpx

Lambakan konsert bulan Jun, Amir U.K’s akui risau penjualan tiket

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
U.K's menjanjikan persembahan bermakna yang akan meninggalkan kenangan indah buat penonton pada 17 dan 18 Jun depan di Istana Budaya. Foto MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

PETALING JAYA – Kemeriahan beberapa penganjuran konsert berskala mega daripada artis tempatan dalam masa terdekat tidak hanya memberi petanda positif untuk industri hiburan tanah air.

Tetapi pada masa sama, wujud konflik apabila berlakunya lambakan persembahan antara beberapa konsert dalam bulan yang sama sehingga meresahkan artis yang terlibat kerana memikirkan tentang persaingan dari segi penjualan tiket.

Perkara tersebut diluahkan vokalis U.K’s, Amir ketika ditemui baru-baru ini pada sesi latihan sempena persediaan menjelang penganjuran Konsert U.K’S Reunion 25 Tahun yang akan berlangsung di Istana Budaya pada 17 dan 18 Jun depan.

Kata Amir, 55, dia mengakui berasa tertekan kerana memikirkan soal penjualan tiket tetapi konsert tersebut perlu diteruskan demi peminat.

“Sebenarnya agak terganggu juga dengan keadaan apabila pada bulan Jun ini, ada banyak konsert lain berlangsung. Walhal kalau diikutkan, kami sebenarnya yang terlebih dahulu mendapat tarikh di Istana Budaya.

“Penjualan tiket saya tak boleh nak kata memberangsangkan, tetapi masih berjalan. Setiap hari, ada peminat yang beli dan bertanya,” katanya.

Kata Amir lagi, dia memahami keadaan selepas pandemik menyebabkan ramai artis lain merebut peluang melakukan konsert tetapi ujarnya, perkara sebegitu tidak sepatutnya berlaku.

“Kita memang tak boleh nak halang dengan apa yang berlaku. Tetapi saya akui, timbul kerisauan tentang cara nak tarik audiens.

“Saya akui harga tiket bukannya murah tetapi tengoklah di mana konsert ini berlangsung, bukannya tempat biasa. Jadi sekarang, terpaksa bersaing pada tarikh yang sama,” katanya lagi.

Pada Jun depan, sebanyak enam buah konsert termasuk U.K’s akan berlangsung di ibu kota iaitu Ziana Zain dan Anuar Zain, dua buah kumpulan Search, Aina Abdul dan Datuk Hattan.

Justeru ujar vokalis itu, sebuah jawatankuasa sepatutnya diwujudkan untuk menyelaraskan perkara tersebut memandangkan industri seni hiburan tempatan tidaklah sebesar mana.

“Memang patut ada jawatankuasa yang kena atur jadual persembahan konsert kalau perkara sebegini masih berlaku pada masa depan.

“Nanti kami pun tak boleh cari makan. Sudahlah tarikh bertindih, harga tiket pun boleh tahan. Kalau saya sebagai peminat pun pening juga nak pergi tengok mana satu. Jadi dari situ dah jejaskan penjualan tiket. Kita kalau buat sesuatu, mestilah kena ada untung. Bisnes tetap bisnes,” ujarnya.

U.K’s akan menghiburkan peminat setia mereka menerusi penganjuran Konsert U.K’S Reunion 25 Tahun yang membariskan ahli-ahli asal kumpulan itu Rozdenil Toni (Denil) selaku pemain gitar, Mohd. Saleh Mohd. Alias (Olley), pemain bass dan dram, Amiruddin Sharif (Amirul).

Pada malam konsert, U.K’s akan menyampaikan sebanyak 25 buah lagu hit mereka sepanjang dua jam persembahan berlangsung.

Tiket konsert yang dianjurkan oleh Mac Training Centre Sdn. Bhd. bersama RCD Concepts Sdn. Bhd. tersebut dijual pada harga bermula RM111 hingga RM999 dan boleh didapati menerusi laman sesawang http://ilassptickets.com. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI