fbpx
KEADAAN menggemparkan apabila khinzir memasuki sebuah ruang solat. - Gambar hiasan

Kedudukan najis khinzir di sisi majoriti ulama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Jika seseorang bimbang karpet, bekas atau pakaian terkena najis khinzir, namun tidak pasti. Patutkah basuh tempat itu dengan air tanah?

Jawapan:
Soalan saudara ada beberapa perkara berkaitan:-

Pertamanya, kita tidak patut mengandaikan perkara tidak nampak. Asal sesuatu yang bersih itu kekal dianggap bersih sehingga terbukti secara yakin ia dicemari najis. Andaian atau syak tak mengubah status asal bersih itu.
Apa yang disebut dalam hadis tentang basuh dengan air tanah ialah anjing. Ini seperti sabda Nabi s.a.w: “Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah,” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim, lafaz Muslim). Hadis ini hanya menyebut jilatan (dalam riwayat al-Bukhari minuman) anjing dan tiada satu pun hadis menyebut khinzir.
Al-Imam al-Nawawi r.h. (meninggal 676H) merupakan tokoh terbilang dalam Mazhab al-Syafi’i. Ketika al-Nawawi mensyarahkan hadis di atas dalam kitab al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj yang merupakan kitab Syarh Sahih Muslim terkenal, beliau menyebut: (Adapun khinzir maka hukumnya sama seperti anjing dalam semua aspek itu. Ini pendapat mazhab kita. Adapun majoriti ulama berpendapat, khinzir tidak memerlukan basuhan sebanyak tujuh kali (seperti yang dalam hadis anjing di atas). Inilah merupakan pendapat (al-Imam) al-Syafi’i. Inilah (pendapat tidak wajib basuh tujuh kali berserta tanah) merupakan pendapat yang kuat dari segi dalil) (3/185, Beirut: Dar al-Turath al-Arabi).

Ertinya, al-Imam al-Nawawi menyokong pendapat majoriti ulama iaitu najis khinzir dibasuh seperti najis lain tanpa perlu tujuh kali air dan tanah.
Dalam kitab al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab (kitab teras dalam Mazhab al-Syafi’i), al-Imam al-Nawawi mengkritik anggapan mendakwa, telah ijmak (sepakat semua para mujtahidin) tentang kenajisan khinzir.

Kata al-Imam al-Nawawi: “Ibn al-Munzir menukilkan dalam kitab al-Ijma’ tentang ijmak ulama mengenai kenajisan khinzir. Ia (ijmak tersebut) jika benar sabit lebih utama untuk dijadikan hujah (tentang kenajisan khinzir).
Namun, Mazhab Malik berpendapat, kebersihan khinzir selagi ia masih hidup. Adapun apa yang dihujahkan oleh pengarang (maksud al-Nawawi ialah al-Imam al-Shirazi pengarang kitab al-Muhazzab) dan selain beliau, itu semua tiada hujah mengenainya. Kita tidak mempunyai dalil jelas mengenai kenajisan khinzir semasa masih hidup),” (2/568, Beirut: Dar al-Fikr).

Jadi, pendapat mewajibkan membasuh kesan khinzir dengan air tanah adalah Mazhab Syafi’i kerana mereka menyamakannya dengan anjing ataupun lebih najis dari anjing.
Majoriti ulama berpendapat, memadai kesan khinzir dibasuh dengan air tanpa memerlukan tanah. Apa yang penting basuhan itu menghilangkan kesan najis itu. Ini kerana, tiada dalil menyatakan khinzir wajib dibasuh tujuh kali, termasuk satu kali air tanah.

Seperti dinyatakan, pendapat ini disokong tokoh besar Mazhab al-Syafi’i sendiri, berbeza dengan mazhabnya iaitu al-Imam al-Nawawi.
Kata Sadr al-Din Muhammad bin ‘Abd al-Rahman (seorang ilmuwan Mazhab al-Syafi’i, meninggal 780H): “Khinzir hukumnya seperti anjing. Dibasuh apa yang ternajis disebabkannya sebanyak tujuh kali. Inilah pendapat paling sah dalam Mazhab al-Syafi’i.

Kata al-Nawawi: “Yang lebih tepat dari segi dalil memadai basuh kesan khinzir, sekali tanpa tanah. Ini pendapat kebanyakan ulama. Ia kerana, asal sesuatu perkara tidak wajib melainkan ada dalil syarak.” (Sadr al-Din Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Syafi’i, Rahmah al-Ummah fi Ikhtilaf al-Aimmah, m.s 9, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Pendapat majoriti ulama ini di samping lebih kuat, juga memudahkan kita berurusan terutama bagi yang makan di hotel, kapal terbang, bertandang ke rumah jiran atau kenalan bukan Muslim kerana bahan atau unsur khinzir mungkin sering digunakan.

Demikian juga apabila kita berjalan di tempat awam yang mana bahan khinzir terdedah di mana-mana pada hari ini.

Pegang pendapat mazhab berbeza bukan menolak fatwa ulama, kerana pendapat yang akan dipegang sebagai ganti juga pandangan ulama yang ada penilaian dan hujah mereka.

Sesiapa yang mahu kekal cara basuhan khinzir seperti Mazhab al-Syafii, boleh berbuat demikian, jika itu pilihannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN