fbpx

Suami isteri didakwa bunuh, dera anak saudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasangan suami isteri dera hingga menyebabkan kematian kanak-kanak akan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh. - MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membunuh dan mendera dua beradik di sebuah rumah di Desa Pengkalan, Lahat, dua minggu lalu.

Tertuduh, Zainuddin Noh, 40, dan isteri, Norhazleyana Azreen Abdul Hamid, 40, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Aisha Farhana Muhammad Khirul Azral, 8, di sebuah rumah di Jalan Desa Pengkalan Bandaraya, Desa Pengkalan di Lahat antara pukul 10 malam, 13 Mei 2022 hingga 7 pagi, 14 Mei 2022.

Pertuduhan terhadap pasangan itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi manakala Norhazleyana Azreen pula diwakili peguam Nurul Syuhada Mohd. Yusof.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mendera adik lelaki Aisha Farhana yang berusia tujuh tahun.

Pasangan suami isteri yang merupakan peniaga itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka didakwa melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di lokasi sama pada pukul 1.30 tengah hari, 13 Mei 2022.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hafizah Mohammad Pauzi memohon tarikh bagi mendapatkan laporan perubatan dan tiada jaminan ditawarkan berikutan pasangan terbabit dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua kes berkenaan disebut semula pada 30 Jun ini.

Menerusi laporan media pada 15 Mei lalu, perbuatan pasangan suami isteri itu terbongkar berikutan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dengan kesan kecederaan disyaki didera.

Mangsa yang dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari sama dengan menaiki ambulans disahkan meninggal dunia pada pukul 1.45 pagi.

Hasil bedah siasat yang dijalankan pakar patologi di Jabatan Forensik HRPB itu mendapati punca kematian mangsa akibat ‘multiple blunt injury’.

Berdasarkan siasatan polis, selain mangsa, adik lelakinya turut mengalami kecederaan di badan yang dipercayai akibat didera suspek. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI