fbpx
Meskipun Kontinjen Malaysia berjaya mencapai sasaran dengan meraih 39 pingat emas pada Sukan SEA Vietnam 2021, namun keputusan tersebut dianggap bukan satu kejayaan yang memberangsangkan.

Sukan SEA: Malaysia masih jauh ketinggalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI – Meskipun Kontinjen Malaysia berjaya mencapai sasaran dengan meraih 39 pingat emas pada Sukan SEA Vietnam 2021, namun keputusan tersebut dianggap bukan satu kejayaan yang memberangsangkan.

Malaysia menutup kempen Sukan SEA edisi ke-31 tersebut di kedudukan keenam dengan mengumpul 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa, manakala Singapura di kedudukan kelima dengan meraih 47 emas, 46 perak dan 73 gangsa.

Buat pertama kalinya dalam sejarah, Malaysia berada di kedudukan keenam dan paling rendah sejak tahun 1983 ketika temasya Sukan SEA dianjurkan di Singapura.

Masalah utamanya adalah Malaysia masih ketinggalan jauh terutama menerusi sukan-sukan yang dipertandingkan pada Sukan Olimpik seperti renang mahupun olahraga yang menawarkan 87 pingat emas pada Sukan SEA Vietnam 2021.

Pada edisi ke-31 kali ini, Malaysia hanya mampu meraih satu emas, empat perak dan 2 gangsa dalam acara renang yang menawarkan 40 pingat emas. Singapura menjadi pasukan paling dominan dalam sukan itu apabila meraih 21 emas, 11 perak dan 12 gangsa dan mengutip 44 pingat keseluruhan.

Sementara itu, dalam sukan acara padang dan trek yang menawarkan 47 acara, Malaysia berada di tangga keempat menerusi pungutan pingat apabila meraih lima emas, tujuh perak dan lapan pingat gangsa.

Pasukan tuan rumah, Vietnam me­lakukan kejutan apabila meraih separuh daripada pingat ditawarkan dengan meraih 22 emas, 14 perak dan lapan gangsa, sekali gus mengumpul 44 pingat keseluruhan dalam sukan olahraga.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria antara lantang menyuarakan kerisauan itu dan memberi peringatan kepada beberapa persatuan sukan kebangsaan agar segera berubah dan tidak menjadi beban kepada kontinjen negara pada kejohanan berbentuk temasya.

Menurutnya, setiap persatuan harus bersikap adil dengan kontinjen bukannya menjatuhkan kontinjen selepas gagal membantu skuad negara untuk mencapai sasaran lebih tinggi.

Pada masa sama, Norza berpendapat Malaysia harus perlu lebih berani menghantar atlet-atlet muda pada Sukan SEA Kemboja Mei tahun depan daripada terus ‘kitar semula’ atlet ke temasya dwitahunan tersebut.

Norza berkata, jika tidak berubah, Malaysia akan berada di takuk yang sama iaitu di kedudukan sekarang atau teruk lagi pada temasya akan datang.

“Ada persatuan sukan yang menterjemahkan perancangan untuk jangka masa sederhana dan jangka masa panjang. Ada masih lagi menggunakan semula orang yang sama dan cara pemikiran masih tidak berubah. Ini ‘orang’ yang menjatuhkan kontinjen.

“Ada antara persatuan sukan menyahut cabaran dengan menghantar atlet muda dan ada persatuan kata tidak adil tidak hantar atlet senior tapi yang hantar atlet senior masih ditakuk lama.

“Sukan SEA Kemboja selepas berlangsungnya Sukan Malaysia (Sukma), jadi Sukma akan jadi kayu pengukur kepada atlet muda apabila bila kita menghantar mereka beraksi di sana.

“Apa salahnya hantar atlet muda kerana tahap penyertaan mereka (selepas Sukma) adalah Sukan SEA. Kita tidak boleh bergantung kepada atlet senior sahaja sampai bila-bila dan ia akan menyebabkan kita tidak ada apa-apa (atlet yang bagus) untuk Sukan Asia dan Olimpik.

“Kalau kita tidak berubah dan berada di takuk ini, kita akan tetap nombor enam, silap-silap jatuh di tangga tujuh keseluruhan. Jadi, saya fikir kita perlu cari bakat dan perlu lihat perkara ini serta mara ke depan.

“Kalau kita hantar atlet pelapis dan mereka cuba sedaya upaya, kita boleh menghargai­nya. Bagaimanapun, kita tidak boleh hargai perkara yang sama berulang kali dan alasan sama,” katanya pada sidang akhbar merumuskan kontinjen Malaysia pada edisi ke-31 di Hanoi.

Dalam pada itu, Norza turut memuji kesungguhan persatuan sukan yang melakukan perubahan dengan menghantar barisan atlet muda dan berjaya mencapai pencapaian terbaik pada temasya dwitahunan tersebut.

“Secara keseluruhan, kita perlu bangga dengan pencapaian kita di sini, kerana banyak persatuan yang hantar atlet muda dan mereka berjaya mencapai keputusan yang cukup baik,” katanya.

Antara persatuan sukan yang dirumuskan gagal mencapai sasaran ditetapkan di Vietnam ialah renang, bola keranjang, catur, dance sports, jui jitsu, judo, kanu/kayak, memanah, mendayung, pencak silat, petanque, tenpin boling, bola tampar, futsal lelaki, triatlon, bola sepak lelaki dan e-Sukan.

POPULAR